Kerajaan Perpaduan solusi di Sabah?

KETIKA Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor lega dengan sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Bung Moktar Radin pula berkata “Game still on (tindakan masih berterusan),”.

Ini bermakna, kemelut kepada penyelesaian pertikaian kuasa politik kerajaan negeri Sabah yang diterajui Gerakan Rakyat Sabah (GRS) masih belum menampakkan kesudahannya.

Sementara, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah meminta pihak-pihak terlibat melakukan ‘gencatan senjata’, iaitu mana-mana pihak berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkaitan.

Apakah formula penyelesaian yang akan memuaskan hati semua pihak untuk mengiktiraf kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji?

Mengikut jadual hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan ke Indonesia dijangka singgah di Kota Kinabalu dan pada masa yang sama Timbalannya, Ahmad Zahid juga akan berada di sana.

Mereka dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti politik di Sabah termasuk GRS, BN/UMNO dan Warisan bagi menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku berikutan BN menarik balik sokongan terhadap Hajiji.

“Kita menunggu Perdana Menteri yang akan datang, esok (hari ini). Beliau akan berjumpa kita, Parti Warisan serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS)…. Keputusan akan dibuat pada malam esok (malam ini),” kata Bung Moktar semalam.

Apakah formula penyelesaian yang akan diketengahkan? Adakah semua parti politik akan diajak bersama-sama membentuk kerajaan negeri yang akhirnya membawa Sabah negeri pertama menubuhkan Kerajaan Perpaduan tanpa pembangkang?

Segala kemungkinan boleh berlaku supaya kerajaan yang ada lebih stabil sementara menunggu pilihan raya negeri seterusnya yang ketika itu sudah tentu akta antilompat parti dapat dikuatkuasakan. Maknanya tiada lagi kerusi berpindah parti.

Dalam menghadapi kemelut ini juga, selain keabsahan Hajiji melalui sokongan ADUN, kesahihan kerajaan GRS perlu diperjelaskan supaya tidak timbul lagi kecelaruan selepas Hajiji pada 10 Disember lalu membawa wakil rakyat Bersatu meninggalkan parti itu.

Ketika ini Hajiji tidak mengetuai mana-mana parti politik, sekadar bercadang menubuhkan parti baharu atau mengambil alih parti sedia ada. Hajiji dan ADUN yang menyertai Bersatu sebelum ini kini bernaung atas nama GRS.

Malahan Bung Moktar ketika ditanya mengenai kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah susulan isu berkenaan enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak tahu… yang saya tahu, kerajaan tidak ada (kini) sebab kerajaan ini ditubuhkan bersama-sama. Jadi apabila kita tarik diri, bukan berhenti, bermakna Ketua Menteri pun tidak ada,” dakwanya.

Rakyat Sabah sudah pasti mengharapkan penyelesaian kepada isu ini lebih-lebih lagi Sabah tidak pernah sunyi daripada situasi bertukar kerajaan, tidak seperti dihadapi negeri-negeri lain.

Mungkin, inilah yang menyebabkan pentingnya akta antilompat parti. Sabah belum membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi mewujudkan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Maka ADUN Sabah masih bebas melompat ke sana sini dengan kali terakhir Hajiji membawa ‘pasukannya’ keluar meninggalkan Bersatu pada 10 Disember lalu.

Terdahulu, ADUN Bandau, Wetrom Bahanda yang juga seorang Pembantu Menteri meninggalkan Bersatu. Beliau kemudiannya pada 21 Oktober mengumumkan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Untuk rekod pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, GRS memperoleh kemenangan dengan majoriti mudah 38 kerusi melalui Perikatan Nasional 17, Barisan Nasional 14 dan Parti Bersatu Sabah 7.

Warisan pula menang di 29 kerusi, PKR (dua kerusi), Bebas (tiga kerusi) manakala UPKO (satu kerusi).

Bagaimanapun keadaan sekarang berubah apabila banyak kerusi berpindah randah akibat lompat melompat parti. Maka bilakah kesudahannya apabila lompat melompat masih dibenarkan?

Related posts

Leave a Comment