China buka sempadan selepas tutup 3 tahun

BEIJING: China membuka semula pintu sempadannya bermula hari ini yang membolehkan rakyat negara itu melancong dan ke luar negara selepas  hampir tiga tahun penutupannya berikutan penularan pandemik Covid-19  pada 2020.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China pada 26 Disember lalu, mengumumkan tahap Covid-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B, ditukar daripada ‘pneumonia novel coronavirus’ kepada ‘novel coronavirus infection’.

Kerajaan juga menamatkan syarat kuarantin kepada pelawat luar bermula hari ini, yang sudah berkuat kuasa selama hampir tiga tahun, walaupun negara itu sedang bergelut dengan lonjakan kes Covid-19.

Sejak bulan lalu, Beijing mula melonggarkan strategi ketatnya dalam mengawal penularan Covid-19, yang membabitkan pelaksanaan kuarantin mandatori dan perintah berkurung besar-besaran selama berminggu-minggu.

Namun, dasar sifar Covid-19 yang ketat itu menjejaskan ekonomi China dan mencetus protes rakyat di seluruh negara itu.

Penamatan perintah kuarantin kepada pelancong luar adalah peraturan terakhir dalam dasar itu yang masih dilaksanakan, dengan pelawat dari luar negara diwajibkan menjalani pengasingan di fasiliti kerajaan sejak Mac 2020.

Tempoh kuarantin itu asalnya dikenakan selama tiga minggu, sebelum dikurangkan ke satu minggu pada pertengahan tahun lalu, dan dikurangkan lagi ke lima hari sejak November lalu.

Berikutan itu, rakyat China mula bergegas merancang perjalanan ke luar negara selepas kerajaan negara itu mengumumkan perintah kuarantin akan dibatalkan.

Berikutan jangkaan peningkatan kehadiran pelancong China,  beberapa negara di dunia mengenakan syarat ujian Covid-19 mandatori kepada pelawat dari China.

Keputusan China yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia itu menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat antarabangsa kerana ia dilakukan ketika negara berkenaan berhadapan dengan peningkatan drastik penularan kes Covid-19.

Malah, beberapa negara juga melaksanakan langkah mengetatkan peraturan pencegahan penularan Covid-19 mereka menjelang ketibaan pelawat dari China antaranya Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.

Lonjakan kes Covid-19 di China ketika ini susulan kelonggaran dasar sifar Covid-19 , dikhuatiri semakin buruk ketika China memasuki tempoh sambutan Tahun Baharu Cina mulai semalam, dengan jutaan rakyat negara itu dijangka bergerak ke kawasan luar bandar.

Beijing mengkritik sekatan perjalanan dikenakan negara lain kepada rakyat China dan menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima, meskipun China masih menghalang kemasukan sebahagian besar pelancong asing dan pelajar antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment