Pusaka bergilir, musim bertukar – Rais Yatim

SEPANG 30 Julai – Dr Rais Yatim menerima dengan hati terbuka keputusan penarikan dua darjah kebesaran negeri yang diterimanya lebih 40 tahun lalu daripada Almarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, notis mengenai penarikan darjah kebesaran Datuk Seri Utama dan Datuk yang diterimanya daripada Istana pada hari ini disambut dengan lapang dada.

Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu berkata, kedua-dua darjah kebesaran itu diterimanya pada 1982 selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menurutnya, anugerah berkenaan dikurniakan oleh Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai menghargai khidmat beliau ketika menjadi Menteri Besar.

“Berita mengenai penarikan bintang kehormatan Datuk Seri Utama serta Datuk Seri dari Istana Negeri Sembilan pada 30 Julai saya terima dengan lapang dada serta dengan falsafah hidup yang biasa. Musim bertukar dan anugerah diterima.

Ada masa diterima, ada masa diambil balik,” katanya menerusi video di laman sosial hari ini.

Katanya, kedua-dua anugerah itu bukan disampaikan oleh pihak yang bertakhta pada hari ini iaitu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir

“Oleh itu notis yang disebarkan pada 30 Julai, saya terima dengan lapang dada dengan perasaan dan falsafah pusaka bergilir, musim bertukar,” katanya.

Dalam pada itu beliau memohon semua pihak berfikiran matang dan tidak menganggap perkara terbabit sebagai ‘rejaman’ semasa pilihan raya yang sedang berlaku dan tidak diambil sebagai isu untuk mengenakan mana-mana pihak.

“Persoalan sama ada bijak notis ini dibuat pada ketika ini, iaitu pada 30 Julai terserah kepada rakyat di Negeri Sembilan, khasnya pemilih atau pengundi di kawasan Klawang serta Jelebu

“Saya berpendapat bahawa ini  biasa kerana bukan saya saja terima nasib seperti ini,” katanya.

Mohd Rais berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Tan Sri Othman Saat malah Perdana Menteri ke-10 juga pernah melalui pengalaman yang sama.

“Tidaklah ia menjadi soal dan isu besar. Anugerah diberi dan anugerah ditarik. Cuma rakyat mungkin bertanya apa sebab-musababnya. Ini bukan pihak saya untuk menjawab,” katanya.

Related posts

Leave a Comment