TAMPIN 30 Julai – Barisan Nasional (BN) menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa memberi wang kepada pengundi dalam kempen Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan.
Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi berkata beberapa laporan polis dibuat serta bukti diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian itu yang disifatkannya sebagai tindakan terdesak parti lawan.
“Saya tidak mahu membuat tuduhan tapi dalam keadaan sangat terdesak ini, pelbagai taktik di akhir pusingan (kempen) beberapa perkara berlaku.
“Diantaranya apa disebutkan Datuk Seri Jalaludin semalam, bahawa ‘hujan lebat’ (pemberian wang) di tempat-tempat tertentu membasahi bumi, tapi bukan kaedah diizinkan dalam Akta SPR.
Laporan polis dibuat dengan bukti dan saksi, saya harap pihak berkuasa ambil tindakan segera terhadap perkara ini. Berkempen cara berhemah, cara baik, timbulkan isu-isu bersesuaian dengan hasrat pengundi dan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Libat Urus Pemimpin Masyarakat bersama Timbalan Perdana Menteri di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gemencheh di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata tindakan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa gelombang biru diterima rakyat di negeri itu menjelang hari pengundian pada 1 Ogos depan.
“Berikanlah penjelasan sesuatu isu itu dibangkitkan, dengan kesantunan politik. Rakyat telah memantapkan di hati dan minda parti dan calon mana dipilih.
“Jangan ada keterpaksaan yang menyebabkan kelebatan ‘hujan’ turun di kawasan tertentu,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata tindakan memberi wang itu sebagai mencabuli sistem pilihan raya di negara ini.
“Hari ini pun masih berlaku terutama di Kuala Pilah dan kawasan Jempol, saya fikir itu perkara malang apabila sistem pilihan raya dicabuli sedemikian rupa.
“Apabila semua itu (didakwa) dilakukan calon MCA yang dihadapan Presiden BN (saya maklumkan) bahawa tidak benar sama sekali dan tidak ada gerakan atau inisiatif parti MCA,” katanya.
