KOTA KINABALU 8 Jan. – Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkuat kuasa serta merta selepas memimpin badan induk itu sejak Jun 2021.
Bung berkata, peletakan jawatan itu dibuat atas kerelaan dirinya selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya politik.
Timbalan Ketua Menteri itu berkata, surat peletakan jawatan secara rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung Safa dalam tempoh terdekat untuk dimuktamadkan.
Pada Disember 2020 ahli majlis tertinggi Safa sebulat suara melantik Bung Moktar sebagai pemangku Prsiden Safa dan disahkan sebagai Presiden dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa Safa pada Jun 2021.
Beliau berkata, walaupun mengakui sedikit rasa kecewa dengan pencapaian turun naik pasukan Sabah FC namun sepanjang beliau mengatuai badan induk bola sepak itu ,Pasukan Safa FC berupaya melakukan perubahan dalam pencapaian selain pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan.
“Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA dan beberapa kejayaan pasukan Sabah FC walaupun ianya masih ditahap yang masih belum memuaskan.
“Mengurus badan induk bola sepak khususnya pasukan Sabah FC memerlukan sokongan serta dokongan dari semua pihak terutamanya dari peneraju utama kepemimpinan negeri yang memerlukan kesungguhan untuk membantu Safa khususnya pasukan Sabah FC melangkah lebih jauh ke hadapan,” katanya.
Beliau juga menegaskan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran itu tiada sebarang agenda peribadi selain berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan bola sepak di negeri ini.
“Menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Sabah agar terus memberikan sokongan kepada pengganti saya ,” katanya.
