PM saksi perjanjian kerjasama di Indonesia

JAKARTA 9 Jan. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis penyerahan 11 Surat Hasrat (LoI) membabitkan penyertaan 10 syarikat Malaysia dalam pembangunan Nusantara, ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

Surat Hasrat itu diserahkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku  Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Di samping itu, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, ke Indonesia, sembilan perjanjian persefahaman dan kerjasama dimeterai merangkumi pelbagai aspek perniagaan dengan potensi nilai RM1.66 bilion.

Sembilan perjanjian kerjasama itu adalah termasuk membabitkan kerjasama antara ASIC Offshore & Marine Sdn Bhd serta PT Dok dan Perkapalan Kodja Bahari.

MoU kedua membabitkan sinergi antara Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) dan Lembaga Pembiayaan Ekspor Indonesia (Indonesia Eximbank).

Satu Memorandum Kerjasama (MoC) antara FGV Holdings Berhad (FGV) dan PT Perkebunan Nusantara Indonesia (PTPN) turut dibentuk

Bagi meneroka potensi pasaran bateri kenderaan elektrik (EV), Citaglobal Berhad dan Indonesia Battery Corporation akan menjalinkan kerjasama bagi membangunkan kilang pembuatan dan sistem penyimpanan bateri.

Sementara itu, AWC Bhd dan PT GKM (Kek Maloy) dan PT Wing Indonesia menjalinkan MoU untuk mengambil bahagian dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Maloy bagi menyokong pembangunan ibu kota baharu Indonesia, yang terletak di Nusantara, Kalimantan Timur di Kepulauan Borneo.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada meneroka penggunaan tenaga hijau, projek tenaga boleh diperbaharui dan alam sekitar di Indonesia bagi memulakan hala tuju ke arah ekonomi yang mampan.

AWC Berhad juga memeterai perjanjian dengan PT Bintang Timur Investama bagi mewujudkan kerjasama dan mengambil bahagian dalam penerokaan projek tenaga hijau dan sumber boleh diperbaharui di Malaysia.

Perjanjian Kerjasama antara AIROD Sdn Bhd dan PT Dirgantara Indonesia turut terbentuk di mana kedua-dua syarikat menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam kerja berkaitan pembaikan, penggantian Kota Sayap Tengah, latihan dan bantuan teknikal bagi projek pemodenan Lockheed Martin C-130.

Nilai potensi bagi projek pemodenan bertempoh lima tahun itu dianggarkan AS$150 juta (RM659.7 juta).

SIRIM Berhad, Badan Riset dan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Republik Indonesia juga menjalinkan kerjasama untuk kepentingan bersama dalam menggalakkan pemupukan pembangunan sains dan teknologi menerusi semangat kesaksamaan dan faedah bersama.

Selain itu, kerjasama antara Penjana Kapital Sdn Bhd, Indies Capital Partners dan AC Ventures bagi meneroka peluang pelaburan bersama dalam entiti ‘growth companies’ melalui dana sedia ada dan bakal dilancarkan dengan nilai pelaburan bersama RM500 juta.

Related posts

Leave a Comment