BN Sabah tidak hormat perjanjian bentuk kerajaan

KOTA KINABALU 8 Jan. –  Barisan Nasional (BN) didakwa tidak menghormati penjanjian yang dipersetujui antara BN Sabah dan Perikatan Nasional (PN) ketika membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020.

Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainuddin, berkata perjanjian itu berkaitan pelantikan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan semua portfolio dalam Kabinet negeri antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN dan BN.

“Apabila Hajiji dilantik sebagai Ketua Menteri, ada perjanjian di antara BN dan PN ketika itu. Hajiji dipilih dengan sokongan Bersatu dan semua menyokong. Beberapa portfolio juga diberi kepada BN,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kemelut politik tidak sepatutnya berlaku yang boleh merosakkan negeri Sabah itu sendiri.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan dengan Bersatu Sabah yang turut dihadiri Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Dr Ronald Kiandee dan Ahli MPT Bersatu, Saifuddin Abdullah

“Apa yang berlaku sekarang, rakyat harus tahu. Ia tidak patut berlaku sebab sudah ada perjanjian. UMNO tidak harus buat ini demi kepentingan rakyat,” katanya.

Hamzah berkata, UMNO dan BN tidak seharusnya campur tangan dalam isu Hajiji dengan Bersatu yang timbul ketika ini.

Beliau merujuk tindakan Hajiji yang mengumumkan keluar Bersatu bersama semua ADUN mewakili parti itu sebelum ini.

“Jangan campur isu Hajiji dengan Bersatu. Itu isu adik-beradik, jiran-jiran tak perlu campur,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN Sabah,  Bung Moktar Radin mengakui ada perjanjian dengan PN, tetapi mendakwa perjanjian itu terbatal selepas Hajiji meninggalkan Bersatu.

Berikutan situasi itu, Bung Moktar mendakwa Hajiji kini tidak berparti dan atas sebab itu hilang ‘locus standi’ atau hak perlembagaan sebagai Ketua Menteri.

Sementara itu Dr Ronald Kiandee berkata, perjumpaan khas Badan Pimpinan Bersatu Sabah bersama Setiausaha Agung Bersatu dan Saifuddin  menyemarakkan lagi semangat juang ahli untuk terus bersiapsiaga demi Sabah.

Dalam catatan di Facebooknya, beliau berkata, Bersatu Sabah akan terus diperkasakan dan penyertaan beberapa pemimpin baru di semua peringkat akan merealisaikan hasrat parti untuk bangkit semula.

“Bersatu Sabah kekal utuh malah bertambah kukuh walau beberapa pemimpin meninggalkan parti. Hakikatnya penghijrahan mereka ini tidak memberi kesan terhadap kekuatan parti di peringkat akar umbi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment