Dua produk kosmetik dibatal jualan

PUTRAJAYA 4 Jan. –  Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan jualan dua produk kosmetik Flashhskinzz Night Cream dan Rissa Skin Moisturiser yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Berikutan itu orang ramai diingatkan tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik berkenaan manakala penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut perlu dihentikan dengan serta-merta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Flashhskinzz Night Cream mengandungi hidrokuinon (hydroquinone) manakala Rissa Skin Moisturiser mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.

“Notifikasi produk kosmetik terbabit sudah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini

Katanya, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Menurut beliau lagi, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Manakala, Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Dr. Noor Hisham mengingatkan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Manakala syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.  

Dr. Noor Hisham juga menasihatkan orang awam yang menggunakan kosmetik  ini mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Related posts

Leave a Comment