KUALA LUMPUR. 16 Mei – Putra menggesa kerajaan menghentikan agenda menaikkan gaji wakil rakyat ketika rakyat terus bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan terpaksa bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan ‘menekan’ mereka.
Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga perlu melakukan reformasi sistem pencen dengan menghapuskan penerimaan pencen berganda untuk pemimpin.
“Putra mengecam cadangan untuk kenaikan gaji wakil rakyat oleh salah seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan, sementara rakyat terus bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan kekurangan bantuan yang sepatutnya.
Subsidi dikurangkan, cukai dinaikkan, dan tarif elektrik meningkat, menyebabkan kos barangan melambung. Peluang pekerjaan semakin berkurang, rakyat terpaksa bertahan dalam ekonomi yang kian mencabar,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, Ahli Subang dari PKR, Wong Chen menggesa kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji wakil rakyat dengan alasan langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan tugas berjalan lebih cekap dan berkesan.
Wong berkata gaji ahli Parlimen pada masa ini dianggap terlalu rendah, memandangkan mereka bukan sahaja perlu menyara keluarga, tetapi juga pegawai dan kakitangan di pejabat mereka.
“Mereka fikir kita hanya jaga anak dan pasangan? Sebenarnya kita juga kena tanggung semua orang di pejabat kita. Kerja politik ini luar biasa. Selagi belum jadi ahli politik, orang tidak akan faham berapa banyak kos yang terlibat… banyak elaun itu bukan gaji,” katanya.
Mengenai pencen wakil rakyat dan menteri, beliau mendakwa ada bekas menteri dan wakil rakyat menerima pencen berganda dari jawatan berbeza, mencapai puluhan ribu ringgit sebulan.
“Putra menyeru agar pencen diselaraskan—satu jawatan, satu pencen sahaja,” katanya.
Shahrulufti juga menggesa kerajaan memastikan dana awam digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan penjawat awam serta memberi fokus kepada memperbaiki peluang ekonomi dan menstabilkan harga barangan asas.
Beliau mendakwa kemudahan anggota penguat kuasa diabaikan, banyak aset kerajaan seperti peralatan PDRM sudah usang, membahayakan keselamatan anggota.
Justeru beliau turut menggesa wakil rakyat berusaha untuk memperjuangkan peningkatan kemudahan ini, bukannya sekadar memastikan keselesaan sendiri tanpa mengambil kira kesusahan rakyat yang semakin parah.
“Kerajaan harus lebih realistik dan berani menetapkan keutamaan dengan betul. Putra tidak akan berdiam diri dan akan terus memperjuangkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Nnnn