PM minta Peguam Negara menghadap Agong

SHAH ALAM 7 Nov. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meminta Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar supaya segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memohon ampun.

Katanya, sesi menghadap itu juga bertujuan menjelaskan isu yang timbul berhubung isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan Mohd Dusuki menjelaskan kekangan undang-undang yang timbul berikutan titah berkenaan, khususnya apabila ia turut membabitkan kes kedua Najib berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, buat masa ini, tarikh bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong belum diketahui, namun Peguam Negara sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

“Saya sudah meminta Peguam Negara supaya segera menghadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong untuk memohon ampun dan menjelaskan mengapa keputusan itu diterima untuk kes SRC, tetapi timbul masalah apabila ia turut membabitkan kes kedua, iaitu kes 1MDB.

Peguam Negara perlu) menjelaskan dan mungkin kita memerlukan beberapa hari lagi untuk memutuskan selepas merujuk kepada badan kehakiman.

Sudah maklum (tetapi) saya tidak pasti,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di Selangor International Trade Centre, di sini, hari ini.

Sementara itu Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Peguam Negara memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung perintah pengampunan bersyarat untuk Najib.

“Peguam Negara juga akan menjelaskan persoalan perundangan yang timbul daripada Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi susulan pembayaran denda RM50 juta, dan perlu diputuskan oleh mahkamah kerana ia memberi kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1MDB,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Istana Negara bertitah, sebarang hujah mempertikai perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib disifatkan menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong.

 

Related posts

Leave a Comment