Tiada diskriminasi kemasukan pelancong

PUTRAJAYA 4 Jan. – Kemasukan pengembara asing ke Malaysia akan dikawal dengan lebih ketat, tanpa menumpukan kepada mana-mana negara yang dikaitkan dengan kadar jangkitan Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada diskriminasi mana-mana negara kerana jika dilihat kadar jangkitan di China, kadar kematian di Amerika Syarikat (AS) dan juga beberapa negara lain juga tinggi

Katanya, masalah kesihatan rakyat adalah paling utama, manakala soal pelancongan serta pertumbuhan ekonomi tidak boleh mengatasi kepentingan mengawal dan merawat rakyat daripada segi wabak serta jangkitan, termasuk Covid-19.

“Kita ambil tindakan menyelamatkan rakyat kita, jadi sesiapa saja yang masuk harus dipantau dan dikenakan syarat sama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Lonjakan ketara kes Covid-19 di China mengundang kegusaran banyak pihak, termasuk rakyat Malaysia yang mahu kerajaan mengambil langkah kawalan terbaik seperti melakukan ujian saringan Covid-19 sebaik pengembara tiba di pintu sempadan negara.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata Malaysia bersiap siaga menerima kemasukan pelancong asing khususnya dari China yang berdepan lonjakan penularan Covid-19 jika mesyuarat Kabinet, memutuskan untuk membenarkan kemasukan pengembara dari negara itu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, pada tahun lalu, jumlah pelawat dari China adalah seramai 336,000 orang dan majoritinya ialah pelancong dan pada Disember lalu, jumlah pelawat dari negara itu adalah seramai 53,000 orang.

“Ia tidak memberi kesan seperti mana yang digembar-gemburkan dan kita tidak melihat jangkitan yang mengaitkan mana-mana negara.

“Kita nak jelaskan perkara ini daripada segi data yang kita peroleh tapi ini tidak bermakna, kita beri kelonggaran kepada mana-mana negara, termasuk China. Kita harus pantau menurut keperluan dan kepentingan kita,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan, Malaysia tidak mahu mengambil satu tindakan gopoh kerana beberapa laporan berkaitan kadar jangkitan yang tinggi di sesetengah negara.

“Kita mahu tekankan kawalan ini diperketat tapi tidak memilih negara kerana umpamanya, pengunjung mungkin datang dari Indonesia tetapi bulan lalu, dia ke China. Hal-hal sedemikian lebih kompleks. Jadi, kita tidak mahu ambil tindakan yang gopoh,” katanya.

Related posts

Leave a Comment