Khairy cadang Peguam Negara bercuti

ALOR GAJAH 7 Nov. – Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar digesa mengambil cuti serta-merta sementara siasatan polis berhubung laporan terhadap beliau berkaitan isu pelaksanaan pengampunan bersyarat Najib Razak dijalankan.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata langkah itu perlu bagi memastikan proses siasatan berlangsung secara telus dan berintegriti memandangkan Peguam Negara kini menjadi individu yang disiasat.

Katanya, beberapa laporan polis sudah dibuat terhadap Peguam Negara susulan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.

“Beberapa laporan polis sudah dibuat termasuk daripada Pemuda UMNO Malaysia terhadap Peguam Negara. Prosesnya sekarang adalah Peguam Negara mesti mengambil cuti. Beliau sekarang ini adalah ‘the subject of investigation’ (subjek siasatan).

“Bila laporan polis dibuat, siasatan mesti dijalankan,” katanya pada program sesi ramah mesra dengan penduduk bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Ahmad Norazril Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Khairy berkata, beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan menghormati hak berperlembagaan Seri Paduka Baginda melalui Lembaga Pengampunan untuk memberikan pengampunan.

Peguam Negara juga adalah anggota Lembaga Pengampunan dan mempersoalkan mengapa perkara yang dibangkitkan dalam kenyataan AGC tidak dibangkitkan ketika mesyuarat lembaga berkenaan sebelum keputusan pengampunan bersyarat diberikan kepada Najib.

Tegasnya tempoh antara keputusan itu dengan kenyataan daripada Peguam Negara semalam agak lama, berminggu-minggu.

“Ia hanya dibuat apabila duit yang diminta atau syarat yang ditetapkan RM50 juta dah ditunaikan atau dah diselesaikan. Tiba-tiba pula dikeluarkan kenyataan (penangguhan),” katanya.

Khairy berkata, isu berkenaan bukan perkara kecil kerana sudah mencetuskan reaksi serius daripada Istana Negara sehingga membawa kepada laporan polis.

UMNO di peringkat negeri dan bahagian dilaporkan membuat laporan polis berhubung penangguhan pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat ke atas Najib.

Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor berkata, laporan polis itu bagi membolehkan pihak berkuasa meneliti sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan titah dan perintah mahkamah.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment