ISTANBUL 7 Nov . – Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib Razak tidak harus dilengahkan selepas pembayaran denda sebanyak RM50 juta dibuat semalam.
Katanya, UMNO berpegang teguh kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sambil menegaskan bahawa kuasa berkenaan adalah kuasa mutlak baginda seperti diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu sudah diputuskan dengan jelas dan perlu dipatuhi semua pihak, termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Walaupun ada pihak mempersoal usaha kutipan dana yang dilakukan UMNO sejak sekian lama, ia sebenarnya adalah usaha bersama daripada pihak kami.
Apabila perkara itu sudah dipenuhi (pembayaran denda), tidak sepatutnya ada sebarang taktik melengah-lengahkan pelaksanaan titah Lembaga Pengampunan atau membiarkannya tidak dipatuh
Pada pandangan saya, perkara yang sudah diputuskan itu amat jelas dan perlu dipatuhi, termasuk oleh AGC,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak berniat mempersoal kuasa mana-mana jabatan atau pemegang jawatan, namun berpendirian perintah yang dikeluarkan Istana Negara perlu dipatuhi.
“Kami juga tidak mahu melihat sebarang percanggahan dengan kenyataan terdahulu yang dikeluarkan AGC berhubung kes Najib,”
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tiada keperluan untuk Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar diarahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi menjelaskan isu perundangan berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntuk kuasa pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan dilaksanakan menerusi Lembaga Pengampunan, termasuk kuasa memberi pengampunan, mengurang atau meringankan hukuman.
Beliau berkata, perkara itu lebih jelas susulan kenyataan Istana Negara yang mengulangi titah Yang di-Pertuan Agong supaya keputusan Lembaga Pengampunan berhubung tahanan rumah Najib dilaksanakan serta-merta.
“Kadangkala saya berasa agak pelik kerana Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan kuasa itu terletak pada Yang di-Pertuan Agong.
Perbezaannya hanya dari segi kaedah pelaksanaan, iaitu menerusi Lembaga Pengampunan bagi perkara berkaitan pengampunan, pengurangan atau peringanan hukuman.
Jadi, apabila Yang di-Pertuan Agong sudah menitahkan perkara itu melalui proses yang sewajarnya, iaitu menerusi Lembaga Pengampunan, keputusan berkenaan tidak boleh dipertikaikan.
Oleh itu, tiada keperluan untuk Peguam Negara diarahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan penjelasan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, Peguam Negara memohon untuk menghadap Sultan Ibrahim bagi menjelaskan perintah mahkamah berhubung pematuhan terhadap titah diraja mengenai Perintah Pengampunan Bersyarat yang diberikan kepada Najib.
(Foto fb Zahid)
Nnnn
