Kes baharu, kematian, kes aktif turun

PUTRAJAYA 2 Jan. – Bilangan kes baharu, kematian dan purata kes aktif harian di seluruh negara pada Minggu Epidemiologi ke-52 (ME 52/2022) mencatat penurunan bagi tempoh 25 Disember hingga 31 Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bilangan kes baharu berkurangan 36.1 peratus iaitu kepada 3,767 kes berbanding 5,894 kes direkodkan pada minggu sebelumnya.

Bilangan kes tempatan turun 36.5 peratus (5,880 kepada 3,735 kes), kes import meningkat 129.6 peratus (14 kepada 32 kes), kematian turun 29 peratus (31 kepada 22 kes)m purata kes aktif setiap hari menurun sebanyak 14.7 peratus (14,580 kepada 12,433 kes).

Dalam kenyataan mingguan situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini, beliau  berkata, bilangan kes sembuh pada ME 52/2022 turun 24.7 peratus iaitu daripada 5,869 kes dicatat minggu sebelum ini kepada 7,791 kes.

Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan iaitu di hospital dan Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk turun sebanyak 18.3 peratus.

Turut menunjukkan perkembangan positif adalah jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi yang turun 35 peratus; manakala pesakit kategori 3, 4, dan 5, turun 31.6 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 bukan kritikal dan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) masing-masing turun tiga dan satu peratus.

Katanya, bilangan kedatangan pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) turun 41.2 peratus; bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah turun 30.9 peratus dan bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital juga turun 22.2 peratus jika dibanding dengan minggu sebelumnya.

Untuk CAC Maya, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes yang melengkapkan penilaian kendiri (HAT) terus turun 38.8 peratus pada akhir ME 52/2022 berbanding ME 51/2022; iaitu daripada 6,516 kes kepada 3,990 kes.

Sementara itu, katanya, hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 45 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) disahkan positif Covid-19 dengan kadar positif 6.3 peratus, manakala tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif virus itu.

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 31 Disember 2022 (ME 52/2022), kumulatif kes baharu adalah 5,026,677; kumulatif kes sembuh pula 4,978,194 kes; manakala kumulatif kes kematian 36,853 kes.

Sebanyak 12 kluster masih aktif daripada keseluruhan 7,165 kluster dilaporkan.

Bagi 2023 dan ke hadapan, pemantauan pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan akan diteruskan melalui kaedah pelaporan HAT dan pemantauan individu yang tidak bergejala menggunakan platform MySejahtera secara keseluruhan.

Ia membabitkan laporan kendiri HAT, notifikasi peringatan menjawab HAT, notifikasi individu yang melaporkan tanda amaran serta notifikasi kepada individu yang layak mendapat rawatan ubat antiviral PAXLOVID.

Related posts

Leave a Comment