KUALA LUMPUR 19 Nov. – Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann mengumumkan peletakan jawatan, 10 hari selepas beliau dilantik semula ke jawatan itu tanpa bertanding bagi tempoh sepenggal lagi (2023-2025).
Keputusan itu dibuat Thomas selepas 10 hari berlangsungnya pemilihan Jawatankuasa Pemandu Bersih (SC) (2023-2025) yang menyaksikan beliau menang tanpa bertanding bagi tempoh sepenggal lagi.
Thomas yang dilantik ke jawatan itu pada Oktober 2018, berkata, keputusannya itu dibuat selepas mendapati kepemimpinan dan usahanya untuk membawa Bersih menjadi institusi rakyat ditolak majoriti NGO yang menyokong Bersih.
“Atas kesedaran ini, saya meletakkan jawatan dengan notis dua bulan dan untuk memastikan peralihan kepimpinan yang lancar sehingga pengerusi baharu dipilih, saya masih kekal sehingga pengerusi baharu dilantik,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.
Pada masa sama, Thomas berkata, sepanjang tempoh itu, beliau tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung dasar kewangan dan dasar utama untuk Bersih.
Katanya, melalui pemilihan lebih seminggu lalu terdapat dua pasukan yang bersaing dengan menawarkan dua visi berbeza dalam Bersih.
Pasukan saya berkempen untuk kesinambungan bagi membawa Bersih menjadi institusi rakyat manakala Timbalan Pengerusi, Wong Yan Ke, dan mereka yang berkempen untuk beliau, mendesak untuk mengembalikan Bersih ke akarnya semula sebagai gerakan rakyat.
“Penolakan terhadap pasukan saya yang diketuai bekas bendahari, Ngeow Chow Ying oleh majoriti NGO dalam pemilihan dengan rekod penyertaan sebanyak 50 daripada 60 Endorsing NGO atau 83.3 peratus, adalah mesej jelas bahawa visi saya untuk Bersih ditolak. Undi itu adalah undi tidak percaya,” katanya.
