Kerjasama politik PH-BN hadapi PRN

TANJONG 2 Jan.- Pengerusi DAP, Lim Guan Eng tidak menolak kemungkinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN), yang dijadual berlangsung dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Ini berikutan penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang dengan sendirinya akan membawa kepada kerjasama di peringkat negeri, sama seperti di Perak dan Pahang.

Beliau bagaimanapun berkata perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan dibuat dalam satu mesyuarat PH, membabitkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan pemimpin tinggi lain, pada minggu ketiga bulan ini, sebelum Tahun Baharu Cina.

“Sebarang perbincangan mengenai PRN dan apa saja bentuk kerjasama (antara PH dan BN), biar ia diumumkan selepas mesyuarat itu dan keputusan bersama dibuat,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang pengumuman mengenainya, namun apa yang penting, secara prinsipnya, jika ada Kerajaan Perpaduan, maka akan ada kerjasama politik perpaduan.

“Jika tidak, saya tidak fikir ia (Kerajaan Perpaduan) akan berterusan. Jadi dengan itu, sudah tentu bukan saja di peringkat kerajaan tetapi kerjasama politik juga akan berlaku,” katanya.

Ditanya penerimaan penyokong DAP terhadap BN berikutan kedua-dua parti itu adalah musuh politik selama ini, Guan Eng berkata, kedua-dua parti perlu memahami antara satu sama lain dalam situasi politik semasa.

Katanya, selepas tiada parti yang memperoleh kerusi majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kerjasama itu perlu untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

“Dalam hal ini, kita mesti membentuk Kerajaan Perpaduan, seperti yang disarankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Baginda memainkan peranan penting dalam menstabilkan kerajaan Persekutuan.

“Menyahut titah baginda, adalah penting untuk pembentukan kerajaan yang stabil, bersatu padu dan lebih penting lagi, mampu memberi tumpuan kepada ekonomi sebagai keutamaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying, mengumumkan Bendahari DAP negeri, Wong Hon Wai dilantik sebagai pengarah kempen bagi persediaan PRN negeri.

Related posts

Leave a Comment