Qatar turut kenakan ujian pelancong China

DOHA 2 Jan. –  Qatar menyertai beberapa negara yang mengenakan syarat ketat kemasukan pelancong yang tiba dari China berikutan gelombang Covid-19 yang sedang melanda republik itu.

Mulai Selasa, pelancong yang tiba dari China perlu menunjukkan keputusan ujian negatif Covid-19 yang diambil dalam tempoh 48 jam selepas berlepas.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam Qatar, ujian itu dikenakan ke atas semua pelancong tanpa mengira status vaksinasi dan ia adalah langkah sementara ketika  China sedang berdepan dengan gelombang Covid-19 .

Ketika ini  Australia, Kanada, Jepun, Itali, Sepanyol dan Maghribi serta beberapa

negara lain sedang memperhebat pemantauan dan pelaksanaan kawalan sempadan bagi individu yang datang dari China.

Di Seoul, Korea Selatan mula mewajibkan ujian saringan Covid-19 untuk ketibaan dari China menyebabkan timbul kekeliruan dan kesulitan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Di bawah sekatan baharu yang diumumkan tiga hari lalu, semua ketibaan dari China diwajibkan menjalani ujian PCR pada hari pertama ketibaan.

Mereka juga mesti berada di kemudahan berasingan di sini sehingga keputusan ujian disahkan manakala rakyat Korea Selatan dan warga asing dengan status pemastautin yang kembali dari melawat China perlu menjalani kuarantin di kediaman masing-masing selepas melakukan PCR.

Related posts

Leave a Comment