Bersatulah Melayu, umat Islam

SEPANG 21 Mei  – Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah menitahkan agar orang Melayu dan umat Islam di negara ini supaya terus bersatu padu, sama ada daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata.

Baginda mengingatkan, jika mereka terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka yang akan rugi dan lemah adalah orang Melayu dan umat Islam.

Titah baginda, ketika jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan untuk menunaikan haji, mereka menunjukkan satu contoh perpaduan yang amat besar nilainya kepada seluruh dunia Islam.

“Mengambil teladan dari itu, Beta berharap orang Melayu dan umat Islam di negara ini akan terus bersatu padu, tidak kira daripada kalangan pemimpin politik hinggalah kepada rakyat jelata,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada perutusan sempena Hari Raya Aidiladha 2026/1447H yang dimuatnaik menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat di Negeri Selangor Darul Ehsan, baginda menarik perhatian bahawa Aidiladha mengajar erti pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah.

Baginda turut menarik perhatian, sejak akhir-akhir ini terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli-ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat.

“Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri.

Beta mahu menegaskan bahawa perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan semua kaum lain di negara ini sebaliknya, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling menghormati.

“Di kesempatan sambutan Aidiladha ini juga, Beta mahu agar semua kaum, bangsa dan semua agama di Negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai.

Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era Kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam,” titah baginda.

Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor turut mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah mereka, dikurniakan kesihatan yang baik, kembali ke tanah air dengan selamat serta memperoleh haji yang mabrur.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment