Tiada dalam senarai cerun kritikal JMG

SEPANG 26 Dis. – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menjelaskan tapak  perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands tidak tersenarai dalam cerun kritikal di bawah pemantauan jabatan itu.

Ketua Pengarah JMG, Hisamudin Termidi, berkata pihak Father’s Organic Farm, lokasi kejadian tanah runtuh pada 16 Disember lalu juga tidak pernah menerima sebarang surat atau maklumat mengenai senarai cerun kritikal berkenaan.

Justeru JMG menafikan beberapa laporan berita yang mendakwa cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah itu disenaraikan antara lokasi kritikal yang dikenal pasti dan JMG menyenaraikan Batang Kali sebagai lokasi kritikal.

“Ia tidak benar dan perlu ditegaskan skop pemantauan cerun kritikal JMG tertumpu di kawasan penempatan dan cerun semula jadi serta tidak bertindih fungsi dengan pihak berkepentingan lain.

Cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah itu tidak tersenarai dalam cerun kritikal di bawah pemantauan JMG,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.42 pagi pada 16 Disember itu, seramai 92 mangsa terbabit dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan dengan 31 disahkan maut manakala 61 orang terselamat.

Menyentuh aspek penempatan baharu atau cadangan pembangunan baharu di kawasan lereng bukit dan berhampiran cerun, Hisamudin berkata, ia adalah sebahagian komponen dalam kebenaran merancang yang memerlukan penilaian risiko dibuat.

“Bagi risiko membabitkan bencana geologi tanah runtuh, pihak pemaju perlu melantik ahli geologi profesional yang berdaftar di bawah Lembaga Ahli Geologi Malaysia membuat penilaian,” katanya.

Related posts

Leave a Comment