Tidak mahu jadi tunggul, MP letak jawatan

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Ahli Parlimen PKR yang mewakili Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mengumumkan peletakan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan  berkenaan tanpa syarat, berkuat kuasa hari ini.

Chean Chung yang memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkata, surat peletakan jawatannya sudah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kira-kira pukul 3 petang semalam.

Keputusan itu dibuat selepas beliau menerima surat daripada PKR pada Rabu lalu yang memaklumkan keahliannya dalam parti digantung selama tiga tahun.

Beliau menjadi Ahli Parlimen PKR keempat meletakkan jawatan tahun ini selepas Rafizi (Pandan) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) pada bulan Mei diikuti Wong Chen (Subang) pada Ogos lalu.

Chean Chung sebelum ini turut mendakwa aksesnya kepada sistem MyKhas yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan sudah disekat sejak penghujung Mei manakala baki peruntukan RM3 juta bagi Petaling Jaya tidak lagi disalurkan menerusi pejabatnya.

“Kini keadaan menjadi lebih serius. Saya tidak lagi boleh berbahas atau menyatakan pendirian dalam parti, sedangkan pengurusan peruntukan kawasan pula diambil alih melalui proses yang tidak telus.

Saya akan menghantar surat peletakan jawatan saya daripada PKR pada Isnin ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Chean Chung pada 12 Jun mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkuat kuasa serta-merta selepas 18 tahun bersama parti dan lapan tahun memegang jawatan di peringkat pusat.

Bagaimanapun ketika itu, beliau menyatakan akan kekal sebagai ahli PKR dan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen sehingga Parlimen dibubarkan.

Chean Chung mendakwa beliau mengetahui mengenai penggantungan keahliannya terlebih dahulu menerusi laporan media sebelum menerima surat rasmi, selain tidak diberikan peluang memberikan keterangan atau penjelasan.

Beliau percaya beberapa isu yang dibangkitkannya, termasuk di Dewan Rakyat, antara faktor yang membawa kepada tindakan disiplin berkenaan.

Antara perkara berkenaan ialah isu Pembaharuan Semula Bandar (PSB), Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta akses kemasukan pemegang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke institusi pengajian tinggi.

“Bagaimanapun, masalah rakyat tidak akan berhenti hanya kerana saya diarahkan untuk diam. Adakah saya patut terus menerima gaji sebagai Ahli Parlimen tetapi hanya duduk senyap seperti tunggul? Tidak.

“Justeru, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Chean Chung mendakwa beliau semakin sukar memahami hala tuju kerajaan dalam beberapa isu, termasuk dakwaan berkaitan “mafia korporat” dan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) dalam kes membabitkan beberapa pemimpin politik.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengkritik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana gagal membawa negara ke arah yang betul.

“Hari ini, apabila berdepan pelbagai kontroversi, kita pula semakin kerap diminta meyakinkan diri bahawa sekurang-kurangnya kerajaan sekarang lebih baik daripada dahulu,” katanya.

Mengenai hala tuju selepas ini, sama ada akan menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Chean Chung enggan mendedahkan keputusannya buat masa ini.

“Sebenarnya saya memang sudah buat keputusan tetapi hari ini, saya ingin tumpu kepada keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Chean Chung berkata PKR adalah parti politik pertama disertainya sejak 2008, apabila beliau meninggalkan kerjaya korporat untuk terbabit dalam politik dan memperjuangkan isu rakyat.

“Saya tidak pernah menyesal. Saya berterima kasih kepada PKR atas peluang sepanjang 18 tahun ini dan kepada rakan seperjuangan yang masih percaya kepada politik bersih, reformasi institusi dan sebuah Malaysia yang meraikan kepelbagaian,” katanya.

Laporan media pada 30 September lalu menyebut PKR dijangka menggantung keahlian Chean Chung selama tiga tahun susulan tindakan disiplin parti.

Beliau sebelum itu pernah menerima surat tunjuk sebab selepas menghadiri program berkaitan

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment