MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan kemudahan pembayaran melalui dalam talian bagi memudahkan orang ramai menunaikan zakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah menerusi kaedah itu penyumbang boleh menunaikan bayaran zakat fitrah dan zakat harta lain seperti pendapatan, simpanan dan emas menggunakan Aplikasi SnapNPay dengan hanya mengimbas pada kod QR selain boleh melaksanakannya melalui butang pilihan tanpa perlu mengimbas pada kod berkenaan.
“Sementara untuk zakat fitrah, ia juga boleh ditunaikan dengan mengimbas melalui pengimbas kod QR di telefon bimbit masing-masing,” titah Yang Dipertua MAIPs itu dalam satu kenyataan hari ini.
Baginda bertitah MAIPs turut melaksana kutipan dalam talian melalui pemindahan wang ke akaun MAIPs di Bank Islam Malaysia Berhad (090 100 100 552 90) atau menggunakan perkhidmatan dalam talian Maybank2u dan CimbClicks selain bakal melaksanakan sistem pembayaran melalui “Financial Process Exchange (FPX)” dalam laman portal rasmi MAIPs.
MAIPs juga sedang meneliti beberapa kaedah dalam talian lain untuk mempermudahkan umat Islam melaksana ibadah zakat dengan cepat dan tidak berisiko.
Titah baginda, perkhidmatan yang diperkenalkan MAIPs itu adalah sebahagian daripada langkah proaktif MAIPs dalam menyekat penularan wabak Covid-19.
“Selain melaksanakan kaedah dalam talian, MAIPs turut mengekalkan kutipan melalui 102 amil di setiap kariah dan mewujudkan kaunter pandu lalu di tiga lokasi berasingan dengan mengetatkan jarak sosial, serta elemen kebersihan untuk menghentikan rangkaian penularan wabak berkenaan.
“MAIPs telah lama mempraktikkan tiada kewajipan untuk berjabat salam ketika melaksanakan bayaran zakat dan tidaklah janggal untuk mempraktikkan norma baharu pasca PKP itu,” titah baginda.
Baginda bertitah peranan amil kariah dan muraqib amil di sekolah-sekolah seluruh Perlis dalam memantapkan agihan zakat turut diperkemaskan.
“Dari sudut penggunaan kemudahan dalam talian, pemohon boleh memuat turun borang permohonan bantuan dalam laman portal MAIPs termasuk bantuan am dan bantuan pelajaran, selain boleh menyemak status permohonan serta membuat kiraan kelayakan asnaf,” titah baginda.
MAIPs melantik 102 amil kariah dan 101 guru muraqib amil di sekolah seluruh Perlis untuk membantu mengenal pasti asnaf yang layak menerima bantuan.