Pindaan perlembagaan dalam PAU Khas

PONTIAN 26 Dis. – UMNO akan membuat pindaan perlembagaan membabitkan pengguguran keahlian serta pertambahan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan pada 11 hingga 14 Januari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, berkata pindaan dua fasal perlembagaan parti itu akan dibentangkan Naib Presiden, Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, pembentangan pindaan perlembagaan itu akan berlangsung dalam PAU Khas pada 13 Januari nanti yang dijadualkan bermula kira-kira pukul 11.30 pagi selepas selesai ucapan dasar Presiden.

“Perkara yang nak dipinda dalam perlembagaan UMNO bulan depan adalah ke atas Fasal 20.11.

Ia menyebut seseorang ahli parti yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan, sama ada pada pilihan raya negeri atau Parlimen, akan tergugur keahlian secara automatik.

Pindaan fasal berkenaan adalah untuk disesuaikan dengan Akta Anti Lompat Parti yang sudah diluluskan Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, di Api-Api, di sini, hari ini.

Selain itu, turut dipinda Fasal 8.4 supaya ketua penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri secara automatik menjadi perwakilan dalam PAU setiap tahun, bermakna perwakilan akan bertambah 191 orang masing-masing ke PAU, serta PAU membabitkan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pontian berkata, sebelum ini hanya tujuh individu daripada setiap bahagian parti yang secara automatik menjadi perwakilan pada PAU.

Ia membabitkan ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, ketua Wanita, Pemuda serta Puteri selain setiausaha bahagian.

“Rasional untuk mereka (ketua penerangan) menjadi perwakilan supaya dapat membawa mesej dan mengepalai mesej utama yang disampaikan pimpinan-pimpinan parti utama kepada bahagian dan peringkat sayap,” katanya.

Mengenai usul yang akan dibawakan pada PAU ini, Ahmad berkata, setakat ini empat usul sudah diluluskan Jawatankuasa Usul PAU yang diketuai Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid.

“Empat usul yang akan dibahaskan nanti adalah solidariti UMNO, kos sara hidup dan ekonomi, tingkatkan tahap pendidikan rakyat dan mendaulatkan agama Islam,” katanya.

Related posts

Leave a Comment