Mayat ditemukan dalam beg tidur tertimbus

HULU SELANGOR 24 Dis. –  Mayat kanak-kanak lelaki, mangsa ke-31 dan terakhir di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di sini, ditemukan dalam beg tidur yang tertimbus dengan kedalaman 1.5 meter dalam tanah.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata lokasi penemuan mayat terletak empat meter dari kawasan tebing bukit dan empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A (Hill View).

Katanya, ketika anggota SAR membuat kerja pengorekan secara manual di situ, seorang Penguasa Kanan Bomba menjumpai satu ‘sleeping bag’ (beg tidur) dan melihat ada cecair keluar dari ‘sleeping bag’ berkenaan.

“Apabila diperiksa, kita jumpa mayat seorang kanak-kanak lelaki, yang kita syaki ia adalah mangsa yang dilaporkan masih hilang itu. ‘Sleeping bag’ berkenaan ditemui di bawah timbunan tanah sedalam 1.5 meter,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan mengenai kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikenali sebagai Eng Shao Qi, pelajar Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di ibu kota.

Wan Md Razali berkata, secara keseluruhan sebanyak 20 mayat mangsa ditemukan di Sektor A (Hill View), satu mayat di Sektor B (Farm View) dan 10 mayat di Sektor C (River Side).

Secara keseluruhan, 31 orang meninggal dunia dan 61 lagi selamat dalam tragedi tanah runtuh pada awal pagi Jumaat 16 Disember lalu.

Mereka yang meninggal dunia terdiri daripada enam lelaki dewasa, 14 wanita dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.

Related posts

Leave a Comment