SAR disambung bagi tujuan ‘pembersihan’

HULU SELANGOR 24 Dis. – Walaupun mangsa terakhir sudah ditemukan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Jalan Genting-Batang Kali akan disambung esok.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, SAR itu bagi tujuan ‘pembersihan’ (flushing) dan juga siasatan lanjut tragedi yang berlaku pada 16 Disember lalu.

“Walaupun semua mangsa sudah ditemui, namun operasi SAR akan diteruskan untuk proses ‘flushing’ dan siasatan lanjut. Kita akan bincangkan lebih lanjut dan keputusan mengenai operasi ini dan perkara ini mungkin diputuskan esok,” katanya.

Suffian berkata demikian pada sidang media selepas pasukan SAR berjaya membawa keluar mayat mangsa terakhir yang ditemukan pada pukul 4.53 petang dalam keadaan masih lengkap berpakaian namun sudah mula mereput.

Mayat kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat.

Sebelum ini, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong memaklumkan terdapat seorang lagi yang belum ditemui daripada 26 mangsa yang terbabit dengan tragedi tanah runtuh itu.

Mangsa dikenali Eng Shao Qi berusia 11 tahun, murid tahun lima yang juga anak
kepada pengusaha kantin di sekolah.

Sementara itu, Suffian turut menzahirkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit sepanjang sembilan hari operasi terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Saya sebagai Komander Operasi juga mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti mendoakan agar proses pencarian semua mangsa terbabit,” katanya.

(FOTO PDRM/JBPM)

Related posts

Leave a Comment