Bukan fikirkan bangunan mega – Anwar

PUTRAJAYA 23 Dis. – Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim menegaskan tanggungjawabnya adalah memberi keutamaan kepada soal kehidupan dan kebajikan rakyat, bukan memikirkan pembinaan bangunan mega yang gah sebagai legasi.

Justeru, beliau mengarahkan tindakan diambil bagi membantu rakyat, terutama di bandar besar yang ramai masih hidup dalam keadaan daif, selain nasib peniaga kecil serta penjaja, namun segala perancangan bagi mencapai tujuan berkenaan mesti mematuhi prinsip tatakelola.

“Jangan (sebagai Perdana Menteri) mula nak fikir gedung tinggi saja. Mai (datang) PM ini, saya fikir gerai dan saya mulakan dengan gerai penjaja dan peniaga kecil mesti bersih dan cantik seluruhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu Perdana bersama Ahli Akademik dan Warga Institusi Pengajian Tinggi di Seri Perdana di Putrajaya, malam tadi.

Bagi Kuala Lumpur, Anwar berkata, soal gerai penjaja dan peniaga kecil antara yang dibangkitkannya dalam pertemuan dengan pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.

Katanya, beliau memberi tempoh tiga bulan kepada DBKL untuk mengemukakan laporan berhubung cadangan mengindahkan gerai penjaja di sekitar kawasan bandar raya ini.

“Saya ke DBKL dan saya kata bersihkan, indahkan, pelancongan, ekonomi, tetapi mesti ikut prinsip tatakelola dan paling utama, saya nak Kuala Lumpur ini tempat gerai itu diindahkan, jangan fikir gedung tinggi sahaja.

“Saya beritahu, (dalam) tiga bulan beri laporan kepada saya macam mana nak buat. Jangan jawab tak boleh, orang tak ada, tempat tak ada, saya tidak terima, saya mahu jawapan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, isu kedua yang dibangkitkannya dalam pertemuan dengan DBKL adalah perumahan.

“Perumahan seperti (flat) Sri Perlis (di Bandar Tun Razak) sudah 40 tahun, satu bilik. Kita pacu pertumbuhan, cakap soal gedung dan boleh buat kota baharu di Putrajaya, tetapi rakyat kita terutama yang miskin, majoriti Melayu, duduk dalam keadaan yang sangat daif.

“Jadi saya kata cari jalan apakah dengan merobohkan dan bangunkan yang baharu? Kerajaan sekarang tidak banyak wang, tetapi keutamaan itu jelas,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kemampanan hidup masyarakat dan rakyat biasa perlu diperjuangkan oleh kerajaan, bukannya untuk Perdana Menteri, Kabinet atau parti politik.

Related posts

Leave a Comment