Fokus jana pertumbuhan ekonomi lebih pesat

PUTRAJAYA 21 Dis. – Kerajaan kini boleh menumpukan perhatian sepenuhnya bagi menjamin tatakelola dan tadbir urus yang berkesan untuk manfaat kebajikan rakyat dan negara berikutan mandat besar yang diterima di Parlimen kelmarin.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, dengan mandat melalui undian dua pertiga di Parlimen dua hari lalu, kerajaan dapat menumpukan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

Bercakap pada pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku di Parlimen dua hari lalu turut dibincangkan sepintas lalu.

“Mandat itu jelas dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kerana usul beliau itu diterima baik hampir sebulat suara, jika ada pengundian, undi dua pertiga itu memang terjamin.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua parti Kerajaan Perpaduan dan kebetulan dalam kes ini tiada yang membantah daripada parti pembangkang,” katanya.

Perdana Menteri juga memaklumkan, beliau bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN),  Mohd Zuki Ali, akan menyelaras cara jentera kerajaan mempercepatkan urusan permohonan perniagaan supaya lebih cepat, pantas dan efisien.

Katanya, ini berikutan sudah ada petunjuk positif dalam kalangan pengusaha dan pelabur luar yang berminat melabur di negara ini.

Mengenai banjir di pantai timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, Anwar akan mengumumkan beberapa tindakan berkaitan soal banjir besar selepas beliau selesai meninjau keadaan di sana pada sebelah petang hari ini.

Buat masa ini, Perdana Menteri berkata, Timbalannya Ahmad Zahid Hamidi telah selesai memantau dan mengambil beberapa tindakan awal, dan laporan mengenai situasi semasa banjir besar itu telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Katanya, mesyuarat Kabinet hari ini juga tertumpu soal banjir di Kelantan dan Terengganu.

“Dan hari ini saya akan ke Kelantan, dan pengumuman soal banjir dilakukan di sana selepas dapat pandangan di lapangan, dan juga daripada Kerajaan Negeri. Pandangan juga telah dikemukakan oleh badan-badan bukan kerajaan dan sukarelawan daripada segi kebajikan dan bantuan, dan penglibatan lebih besar Angkatan Tentera Malaysia dan beberapa kemudahan sedia ada,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan Sambutan Ambang Tahun Baharu yang lazimnya diadakan pada Disember, selepas mengambil kira tahap bencana banjir besar yang melanda di beberapa negeri, khususnya di Pantai Timur.

Related posts

Leave a Comment