Anwar sedia bekerjasama dengan semua

PASIR MAS 21 Dis. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata lawatannya ke Kelantan hari ini membuktikan kesediaannya untuk bekerjasama dengan semua selepas diberi amanah mengurus dengan baik tanpa mengira negeri mana.

“Saya sudah beritahu sebelum ini, tugas saya sebagai Perdana Menteri adalah berusaha mentadbir dan mengurus negara dengan sebaik mungkin,” katanya.

Anwar berkata, Kelantan (negeri dikuasai sepenuhnya oleh Perikatan Nasional (PN)) menjadi negeri pertama yang dikunjunginya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.

“Soal pilihan raya rakyat yang memilih. Tanggungjawan saya selepas diberi amanah adalah mengurus dengan baik tanpa mengira negeri mana.

Tumpuan saya di Kelantan adalah soal banjir memandangkan negeri ini banjir. Kalau bercakap soal pelabuhan mungkin sesuai di Johor, kita ikut keutamaan,” katanya ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Tengku Panglima Raja, di sini, hari ini.

Perdana Menteri ditanya mengenai lawatannya ke Kelantan walaupun ditadbir oleh pembangkang.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan,  Ahmad Yakob; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengarah Kesihatan Negeri,  Dr Zainin Husin.

Anwar turut bersedia menerima kunjungan daripada Menteri Besar Kelantan,  bagi membincangkan isu pembangunan negeri itu.

“Saya beri jaminan bukan sahaja hari ini, tetapi pada masa depan sekiranya ada keperluan saya sedia menerima beliau sama ada di pejabat untuk berbincang hala tuju untuk kepentingan rakyat dan pembangunan,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengumumkan Kerajaan Persekutuan memberi bantuan segera RM50 juta bagi Kelantan dan RM50 juta untuk Terengganu yang terjejas dilanda banjir teruk.

“Bantuan ini bagi membantu mangsa banjir memandangkan kebanyakan mangsa yang terkesan adalah golongan miskin,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga akan meneruskan bantuan banjir RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan.

“Manakala, bantuan RM10,000 bagi keluarga yang kematian ahli keluarga akibat banjir dan bayaran berkenaan akan diberikan kepada KIR.

“Mangsa banjir berkenaan perlu mendaftar di PPS dan kita serahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menguruskan perkara itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment