PM Anwar semakin kukuh, lupakan ‘kerajaan PN’

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim boleh menarik nafas lega selepas rakan-rakan gabungan ‘diikat mati’ untuk setia dan memastikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinannya supaya kekal stabil.

Ini berikutan empat gabungan parti terbesar serta parti politik yang mewakili lebih 60 kerusi memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH), yang diterajui Anwar. Perjanjian itu menoktahkan sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga.

Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Warisan menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama dengan PH yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan UPKO.

Berikutan perjanjian itu, ‘kesetiaan’ wakil rakyat BN, GPS, GRS dan Warisan sukar digugat lagi. Ibarat pintu bilik ‘diselak’ rapat. Sebarang cubaan untuk keluar hanya membawa padah. Seperti akta anti lompat parti, keluar bermakna ‘hilang kerusi’.

Justeru, wakil rakyat yang tidak mahu kehilangan kerusi dan pada masa yang sama mengelak dilabel dengan pelbagai gelaran elok duduk diam-diam sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pada masa yang sama usul percaya bagi mencari keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri juga sudah tidak relevan. Kedudukan Perdana Menteri kini kukuh.

Perikatan Nasional (PN) pula terpaksa berputih mata dengan 74 kerusi yang dimenangi tetapi hilang lima kerusi berikutan tindakan wakil rakyat Bersatu Sabah meninggalkan parti itu baru-baru ini dan masih bernaung di bawah GRS.

Realitinya, sebelum menandatangani perjanjian ini, kedudukan Anwar juga sudah stabil dan tidak mungkin akan ada dalam kalangan wakil rakyat terutama dari GPS dan GRS akan berpaling tadah. Jika ada pun bukan dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun impian PN untuk membentuk kerajaan musnah apabila perjanjian persefahaman yang lebih kurang sama dengan ‘hukuman’ lompat parti.

Melalui perjanjian itu, terdapat ‘ikatan’ dalam perkara berkaitan Usul Percaya dan Rang Undang-undang Perbekalan. Di bawah perkara itu, setiap parti dan pihak-pihak berkenaan hendaklah:

“Mengundi menyokong Perdana Menteri dalam usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan/atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Setiap parti dan pihak-pihak hendaklah bertanggungjawab menguruskan secara dalaman bagi memastikan sokongan Parlimen untuk mengekalkan kerajaan dalam sebarang undian yang membawa kesan kepada keabsahan kerajaan.

“Memastikan setiap Ahli Parlimen mereka mengundi menurut klausa di atas. Kegagalan, keengganan atau kecuaian dari berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab ahli Parlimen secara individu kepada parti, yang dianggap sebagai peletakan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Parti Ahli Parlimen tersebut hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil,”

Begitulah antara kandungan perjanjian yang ibarat “mengikat tangan dan kaki” wakil rakyat gabungan itu. Ikatan boleh dibuka tetapi kerusi yang dimenangi hilang.

Justeru pada masa yang sama, PN pula bersedialah untuk menjadi pembangkang dalam tempoh lima tahun akan datang. Lupakan hasrat membentuk kerajaan melalui sokongan rakan-rakan parti gabungan yang kini sudah selesa menjadi kerajaan.

Satu keajaiban jika ada wakil rakyat BN, GPS, GRS dan Warisan sanggup mengorbankan diri untuk mengosongkan kerusi dalam satu jumlah yang besar dalam tempoh terdekat. Mungkin boleh berlaku pada tahun kedua terakhir penggal ini.

Related posts

Leave a Comment