HULU SELANGOR 16 Dis. – Seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, setakat pukul 7.30 malam ini.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, berkata pasukan penyelamat masih menjalankan kerja mencari dan menyelamat 12 lagi mangsa yang masih hilang.
“Saya dimaklumkan keseluruhan mangsa 94 orang. Yang meninggal dunia 21 orang dan yang belum ditemui 12 orang.
Jadi kerja untuk mencari 12 mangsa yang belum ditemui. Kita berdoa mudah-mudahan ada yang terselamat,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain
Ahmad Zahid berkata, terdapat dua aliran air bawah tanah di kawasan runtuhan.
“Ini dapatan awal daripada siasatan pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) dan Jabatan Tanah dan Galian,” katanya.
