Enam ujian penentu kerajaan pimpinan Anwar

PULAU PINANG 14 Dis. – Veteran DAP, Lim Kit Siang menggariskan enam ujian yang perlu dihadapi Anwar Ibrahim bagi menentukan kelangsungan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri itu.

Belau berkata enam ujian itu juga akan menentukan sama ada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar mampu bertahan sehingga lima tahun atau sebaliknya.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas Setiausaha Agung DAP itu menggariskan enam ujian itu iaitu:

  • Pemilihan Yang di Pertua Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022.
  • Kelulusan usul percaya terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di Parlimen pada 20 Disember 2022.
  • Perhimpunan Agung UMNO pada 11 hingga 14 Januari untuk melantik pimpinan baharu.
  • Kelulusan Usul Menjunjung Titah Diraja semasa pembukaan Parlimen, yang merupakan dasar-dasar kerajaan untuk tahun tersebut; dan
  • Kelulusan Belanjawan 2023

Kit Siang berkata sekiranya kerajaan perpaduan Anwar dapat bertahan dengan lima ujian berkenaan, cabaran seterusnya adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, Perikatan Nasional (PN) akan mencuba sedaya upaya untuk mencatatkan kejayaan di enam negeri ini untuk menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar.

“Malah, Pengerusi PN Negeri Sembilan sudah mengumumkan yang PN Negeri Sembilan menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 19 dari 36 kerusi DUN untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh memandang ringan ancaman PN ini, sama ada di Negeri Sembilan atau di lima negeri lain.

“Saya alu-alukan pengumuman Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, untuk PH mengadakan jelajah bermula awal tahun depan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya di enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sebelum ini.

“Saifuddin juga Menteri Dalam Negeri, mengatakan menjadi satu tanggungjawab yang ‘amat penting’ untuk meyakinkan pengundi di enam negeri ini untuk terus menyokong kerajaan perpaduan Anwar yang dibentuk selepas PRU-15,” katanya.

Justeru, Kit Siang berkata, PH perlu merangka program memastikan gabungan itu tidak kehilangan kerusi kepada PN, sebaliknya, mencatatkan prestasi lebih baik di enam negeri berkenaan berbanding prestasi dalam PRU ke-15 sebelum ini.

(Foto Fb lim kit siang)

Related posts

Leave a Comment