Mohd Shafiq terkilan, tidak puas hati

PUTRAJAYA 13 Dis. – Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,  Mohd Shafiq Abdullah yang ditamatkan tugas sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa semalam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit dalam tindakan terhadapnya itu.

Mohd Shafiq dalam kenyataan media hari ini juga melahirkan rasa terkilan terhadap keputusan itu dan tidak berpuas hati.

“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan penamatan perkhidmatan saya dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal ini yang telah menganiayai saya meskipun saya telah menyumbang tenaga dan fikiran selama 30 tahun dalam Perkhidmatan Awam.

Demi menjaga nama baik dan kepentingan anggota Perkhidmatan Awam, keputusan kerajaan ini akan diteliti secara mendalam, sekiranya sesuai dan perlu semakan perundangan akan dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, pada masa yang sama beliau menasihatkan semua penjawat awam menumpahkan taat setia kepada Seri Pasuka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan yang memerintah, memegang prinsip Integriti, tidak rasuah dan mendahulukan kesejahteraan rakyat.

Mohd Shafiq juga menjelaskan kepada rakyat Malaysia bahawa  beliau tidak pernah mengancam kepentingan awam dalam sebarang perkhidmatan dan tindakannya semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Mengenai surat dibersarakan yang tular di media sosial sejak semalam, Mohd Shafiq berkata, beliau hanya menerima surat penamatan perkhidmatan itu semalam walaupun ia bertarikh 1 Disember lalu.

Katanya, beliau juga tidak diberikan notis munasabah berikutan tarikh berkuat kuasa penamatan perkhidmatan itu adalah pada hari sama beliau menerima surat berkenaan.

Beliau turut menggariskan beberapa penambahbaikan dalam perkhidmatan yang cuba diusahakan termasuk penambahkaikan semua organisasi agensi dan jabatan kerajaan supaya boleh berfungsi lebih optimal dan efisien.

Begitu juga penambahbaikan Peraturan Pengesahan Sijil Sakit Swasta Yang Melebihi 15 Hari Bagi Rawatan Pesakit Luar Oleh Pegawai Perubatan Kerajaan serta arahan pusingan kerja, lawatan mengejut turun padang dan memberikan teguran untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan.

Pun begitu, katanya, perkara berkenaan tidak disenangi oleh segelintir pegawai awam yang mempunyai kepentingan dalam perkhidmatan awam dan juga bersama pihak luar.

“Justeru, beberapa usaha tanpa henti telah dilaksanakan untuk memburukkan imej dan reputasi saya melalui isu-isu viral di media sosial dan media massa yang semakin memuncak dengan tindakan penamatan perkhidmatan saya semalam,” katanya.

Tanpa menamakan sesiapa, Mohd Shafiq turut mendakwa ada usaha untuk menghalangnya bertindak dengan efisien dan segera apabila beberapa mesyuarat penting kenaikkan pangkat ditangguh oleh Ketua Setiausaha Negara sebagai Pengerusi Mesyuarat seperti Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat perkhidmatan Awam.

Katanya, beliau juga tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya untuk melantik dan memberikan kenaikkan pangkat pegawai awam kerana ia perlu melalui Mesyuarat Lembaga.

“Kelewatan mengadakan Mesyuarat Lembaga telah menyebabkan banyak jawatan penting yang kosong dalam sektor awam tidak dapat diisi dengan segera, terutamanya di peringkat pengurusan tertinggi Kementerian atau Agensi.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa Jemaah Menteri sebelum ini telah pun memutuskan untuk tidak mempertimbangkan penyambungan perkhidmatan Pegawai Awam secara kontrak bagi yang telah bersara.

“Ini kerana ia akan memberikan beban kewangan kepada Kerajaan dengan pembayaran pencen dan gaji pada masa yang sama. Pelaksanaan keputusan Jemaah Menteri ini juga tidak dapat dilaksanakan segera disebabkan tekanan oleh pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment