Anwar saman MB Kedah

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Sanusi adalah pemimpin kedua Pas yang disaman selepas Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang didakwa berucap mengaitkan Anwar dengan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini dan menyokong agenda komunis.

Anwar, 75, yang juga plaintif memfailkan saman terhadap Sanusi menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 November lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah itu sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Dakwa Anwar, ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama “Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa pada 14 November lalu, kenyataan fitnah daripada video itu telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris bertajuk “Kes liwat Anwar: Dulu kesian sungguh, sekarang Pas kata kena ‘pikiaq’.

Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

Dakwanya, akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan Malaysia.

Anwar mendakwa pada 16 November lalu, plaintif melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Disember lalu, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan itu.

Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sebelum ini, Anwar mengemukakan saman fitnah terhadap Razman  melalui firma guaman Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Taiping dengan menuntut Ahli Dewan Undangan Negeri Gunong Semanggol itu membayar ganti rugi am, teruk dan teladan serta injunksi menghalangnya daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah serupa.

Dalam pernyataan tuntutan, Razman didakwa memberikan ucapan kempen pilihan raya pada program ‘walkabout’ pasar malam Tebuk Pancur yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebooknya ‘Haji Razman Zakaria’ yang mendapat tontonan melebihi 94,400 kali, melebihi 5,100 reaksi, 429 perkongsian dan melebihi 2600 komen.

Razman kemudian menerbitkan atau menyebabkan siaran video secara langsung Facebook dan kandungannya diterbitkan semula di artikel Malaysiakini bertajuk ‘Razman dakwa Anwar bawa agenda LGBT, bimbang kerjasama PH-BN’ bertarikh 6 November lalu dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Menurut Anwar , penerbitan itu adalah satu fitnah terhadap dirinya yang antaranya membawa maksud beliau adalah seorang yang cenderung kelakuan songsang, menggalakkan perkahwinan sejenis dan mengamalkan serta menyokong ideologi komunis.

“Dakwaan dalam penerbitan itu adalah tidak benar, melampau, jahat dan palsu sepenuhnya. Saya sentiasa mengecam semua dakwaan agenda LGBT dan memperjuangkan agenda reformasi yang lebih besar untuk tadbir urus negara.

“Penerbitan itu adalah tidak berasas dan mengandungi dakwaan yang tidak betul menggambarkan saya sebagai membawa agenda LGBT. Saya tidak pernah menyokong perkahwinan sejenis,” katanya.

Related posts

Leave a Comment