Hajiji ulangi episod 2018 keluar masuk parti

DULU, pada 2018 tajuk utama akhbar BH, “UMNO Sabah lumpuh” dan hari ini 2022, BH memaparkan tajuk “Bersatu Sabah lumpuh,”. Dulu UMNO sekarang Bersatu. Menariknya watak utama bagi kedua-dua episod ini adalah Hajiji Noor.

Jika dulu bertujuan menyokong kepemimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH), kali ini mendokong kerajaan campuran pimpinan Anwar Ibrahim.

Hakikatnya lompat atau keluar masuk parti sudah menjadi lumrah di Sabah. Lebih-lebih lagi, Sabah belum meluluskan Akta Anti Lompat Parti. Maka ketika tidak ada lagi lompat parti di Semenanjung, lompat melompat masih berkaku di Sabah.

Maknanya kerajaan negeri Sabah masih belum selamat selagi lompat melompat ‘dibenarkan’. Kini terserah kepada parti politik menentukan. Sudah ada desakan supaya kedudukan kerajaan negeri yang diterajui Hajiji
dilihat semula.

Menyelak kembali tindakan Hajiji itu, pada episod 2018, UMNO Sabah menerima tamparan hebat apabila Hajiji sebagai Pengerusi UMNO Negeri bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu.

Mereka termasuk sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), empat ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah bertindak meninggalkan parti itu.

Pada ketika itu yang tinggal terkial-kial untuk membangunkan semula UMNO Sabah adalah Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin. Beliau dibantu oleh beberapa orang ketua dan timbalan ketua bahagian yang masih setia.

Semalam, Hajiji mengulangi episod 2018 apabila beliau mengetuai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan lima anggota Parlimen meninggalkan Bersatu dan bakal menubuhkan parti politik baharu untuk terus bergerak.

Sama seperti dialami UMNO sebelum ini, Bersatu kini hanya tinggal Ahli Parlimen Beluran yang juga Naib Presiden Dr. Ronald Kiandee yang diberi tanggungjawab untuk membina semula parti itu di Sabah.

Nasib baik Dr Ronald melanggar arahan untuk terus bertanding pada PRU lalu selepas kerusinya yang dibawa ke Bersatu pada 2018 diserahkan kembali kepada BN. Beliau bertanding atas tiket PN dan menang.

Tanpa Dr Ronald, Bersatu tidak ada lagi wakil rakyat di Sabah. Menang satu kerusi tambahan di Padang Serai terapi hilang lima kerusi di Sabah.

Jika pada 2018, Hajiji dan rakan-rakan lain memilih Bersatu tetapi hari ini, mereka tidak lagi mewakili mana-mana parti. Maka timbul pertikaian sama ada mereka yang tidak berparti itu boleh bersama membentuk kerajaan negeri Sabah.

Ini episod yang menarik perhatian pemerhati politik kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku walaupun akta anti lompat parti masih belum wujud di Sabah.

Kedudukan 14 ADUN Bersatu ini tidak terjejas tetapi mereka perlu mencari tapak baharu sama ada menyertai parti politik sedia ada atau menubuhkan parti baharu kerana GRS hanyalah entiti politik, bukan parti.

Keahlian GRS ketika ini adalah parti politik, maka sudah tentu bekas pemimpin Bersatu juga perlu ada parti baharu yang kemudiannya boleh dibawa menjadi sebahagian daripada komponen GRS.

Menunggu pendaftaran parti baharu mungkin mengambil masa dan pilihan yang ada khabarnya bekas pemimpin Bersatu akan mengambil alih parti lama seperti yang pernah berlaku kepada pemimpin parti lain yang meninggalkan parti induk.

Difahamkan, bekas pemimpin dan wakil rakyat Bersatu Sabah bakal menyertai sebuah parti tempatan yang akan diambil alih iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) atau GAGASAN yang bertapak hampir 10 tahun.

Bagaimanapun terdapat pertikaian mengenai kedudukan empat anggota Parlimen, ahli Bersatu yang bertanding atas tiket GRS iaitu Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Difahamkan, dari sudut undang-undang, Ahli Parlimen Bersatu di Sabah telah hilang kelayakan apabila keluar Bersatu. Justeru adakah empat kerusi ini akan diisytiharkan kosong bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil?

Nampaknya akta anti lompat parti sudah memberi kesan kepada politik negara. Ada baik buruknya. Baik apabila ketika tidak ada gabungan parti yang dominan semasa keputusan PRU lalu, tiada lagi tawar menawar untuk berpindah atau melompat parti.

Buruknya apabila berlaku situasi yang ada pada hari ini ‘ keluar parti’ untuk menyokong parti lain atas alasan mendokong ‘kestabilan’, akhirnya berkemungkinan perlu mengadakan pilihan raya kecil.

Related posts

Leave a Comment