Menteri terlibat rasuah dipecat serta merta

PUTRAJAYA 11 Dis. – Jemaah menteri yang terlibat dengan aktiviti rasuah akan dipecat serta merta, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketika mengingatkan demikian, Anwar memberi amaran beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal itu kerana ia berkait dengan pelanggaran tata kelola.

“Saya sudah bercakap dengan semua ketua parti komponen, kalau ada kes seperti itu (rasuah) ketika pemerintahan saya. Saya minta pecat serta merta. Saya tidak tolak ansur dan ini bukan soal politik. Ini adalah keyakinan saya.

“Saya telah dihumban ke penjara dan dipukul setengah mati dan sudah lama terseksa dan saya bukan mahu mendabik dada sebab aku menang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri bersama Ulama dan Asatizah di Seri Perdana di sini hari ini.

Perdana Menteri juga menegaskan tidak pernah memberi jaminan kepada sesiapa bahawa mereka akan dilepaskan daripada hukuman sekiranya diputuskan oleh hakim yang bebas dan adil.

Anwar berkata, jika beliau mampu kompromi, sudah bertahun-tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

“Kebebasan, profesionalisme badan-badan kerajaan, saya adakan beberapa pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Peguam Negara dan lain-lain yang memberi gesaan yang sama.

“Saya membuktikan bahawa ada orang Melayu, anak Melayu yang gunakan kuasa untuk menjaga dan membela nasib rakyat terbanyak.

“Saya nak buktikan bahawa orang yang percaya kepada Islam itu dihormati, diyakini kerana prinsip rahmah dan keadilan yang ditegakkan,” katanya.

Anwar juga memaklumkan beliau diberi mandat memimpin dalam keadaan hutang negara mencecah lebih RM1 trilion.

Beliau berkata, perkara itu bukan fitnah sebaliknya diteliti di setiap agensi yang mana berlaku kebocoran dan ketirisan.

“Saya kerja kuat meneliti fail-fail, sebab itulah beberapa projek ditangguhkan, teliti semula atau batalkan, bukan maksudnya untuk mencerca mana-mana tokoh politik, saya tidak sebut nama tokoh politik.

Tapi saya kata projek tebatan banjir kerana banjir itu menyeksa rakyat dan yang jadi mangsa itu orang miskin dan majoriti yang miskin itu Melayu.

“Sebab itu kalau kita nak belanjakan kita kena teliti , ini soal tadbir urus, mengurus negara itu harus dengan ketertiban, peraturan dan ke arah yang betul.

“Jadi bila saya lihat umpamanya dilulus dengan spontan projek tebatan banjir, syarikat-syarikat dipertikai, beberapa persoalan tidak dijawab, saya minta ditangguhkan dan diteliti semula,” katanya.

Related posts

Leave a Comment