Tok Mat komited jayakan KPP

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan komited untuk memastikan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan Parlimen dapat dijayakan secepat mungkin.

Mohamad berkata, pelan strategik dengan tujuh teras untuk kementerian itu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sudah dan sedang dalam proses pelaksanaan.

“Ia (pelaksanaan KPP) mempunyai jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Datuk Seri Muez Abd Aziz), Panglima Angkatan Tentera (Tan Sri Affendi Buang) dan Panglima perkhidmatan.

Saya nampak ia dilakukan dengan terbaik dan akan menjadi sebagai teras kepada pelan pembangunan ATM,” katanya pada sidang media pertamanya selepas melapor diri di Kementerian Pertahanan di sini.

Pada 2 Disember 2019, KPP dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat dan kertas putih itu menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.

Terdahulu Mohamad menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dan mengetip perakam waktu diikuti taklimat daripada Muez dan Affendi mengenai Kementerian serta ketenteraan.

Mohamad berkata, berdasarkan taklimat yang diterima, kesiapsiagaan ATM berada pada tahap amat baik dalam menjaga pertahanan dan kedaulatan negara dan KPP akan terus memperkasa perkhidmatan tentera darat, laut serta udara.

“Saya akan meneruskan apa yang sedang dilakukan kementerian dan kita cuba sedaya upaya untuk menambah nilai apa-apa yang perlu diperkasakan lagi,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada ATM perlu diberikan peruntukan tinggi, Mohamad berkata, sebagai sebuah negara, peruntukan itu perlu juga dipertimbang dengan kementerian lain.

“Bagaimanapun, pertahanan dan kedaulatan negara adalah keutamaan semua pihak. Jika tidak ada pertahanan keselamatan yang baik dan kedaulatan negara terancam, anda boleh lupakan mengenai kemakmuran.

“Ini sangat penting untuk kita pastikan orang faham bahawa kedaulatan adalah keutamaan untuk kita pertahankan, membabitkan pesisiran, ruang udara dan sempadan dengan sebaik yang mungkin,” katanya.

Mengenai perkembangan kapal tempur pesisir (LCS), Mohamad berkata, beliau akan meneliti isu itu terlebih dulu.

Related posts

Leave a Comment