Telur ayam lebih murah diumum esok

PUTRAJAYA 5 Dis. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, harga telur ayam yang lebih murah akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu esok.

Anwar  berkata, pengumuman itu bakal mengurangkan kebergantungan bekalan telur kepada kartel.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu serta mengarahkan beberapa langkah diambil terhadap isu bekalan telur yang dihadapi negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, perincian mengenainya akan diumumkan esok dan berharap harga telur lebih murah.

Sementara itu, Mohamad berkata, isu bekalan barangan keperluan, terutama telur dan ayam serta harga munasabah menjadi fokus utamanya.

Mohamad berkata, isu bekalan makanan dengan harga yang munasabah memerlukan perhatian serius seiring dengan ramalan ekonomi dunia akan mengalami kemerosotan pada tahun hadapan.

Beliau berkata, kementerian itu adalah lapangan baharu baginya kerana sebelum ini beliau menjadi Menteri Pertahanan yang lebih banyak bercakap soal keselamatan, namun kini di bidang kehidupan manusia membabitkan makanan dan keperluan harian.

Katanya, perkara pertama yang akan dilakukannya ialah mendengar taklimat sebelum merangka apa-apa perkara manakala agenda yang tersedia diteruskan.

“Saya akan lihat mengenai harga makanan, terutama telur kerana golongan miskin sehingga atasan memakan telur di samping isu ikan dan ayam,” katanya selepas mengetik kad perakam waktu hari pertama memulakan tugas secara rasmi di pejabatnya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Pertanian dan Keterjaminan Makanan,  Haslina Abdul Hamid.

Mohamad berkata, pihaknya akan mendapatkan gambaran situasi sebenar melalui taklimat dalam mencari kaedah yang terbaik soal keterjaminan bekalan makanan.

Beliau berkata, keterjaminan makanan dengan harga munasabah itu penting, malah Anwar  berkali-kali membangkitkan isu ini ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Katanya, selepas mendapat gambaran sebenar dan mencari kaedah terbaik, barulah satu kenyataan bersama  Salahuddin Ayub yang menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, akan dibuat.

Ditanya sama ada isu kekurangan bekalan keperluan asas tidak akan berulang, Presiden Parti Amanah Negara itu berkata, beliau tidak boleh memberi jaminan perkara sedemikian tidak berulang kerana ia tertakluk kepada ekonomi dunia.

Katanya, peperangan yang berlaku antara Ukraine dan Russia sememangnya tidak dijangka dan akhirnya memberi kesan kepada kos baja.

Related posts

Leave a Comment