Draf akhir perjanjian gabungan parti kerajaan

PUTRAJAYA 5 Dis. – Draf akhir perjanjian gabungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan akan siap tidak lama lagi, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, beberapa perbincangan diadakan berkaitan perjanjian itu dan ia akan ditandatangani semua parti terbabit tidak lama lagi.

“Adalah amat penting perjanjian gabungan ini untuk semua parti politik bersama sebagai satu pasukan, ia amat penting. Kita perlu menjaga setiap rakan dalam kerajaan gabungan ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Terdahulu, Zambry yang juga Menteri Luar meluangkan masa lebih satu jam bersama warga Wisma Putra dalam Majlis Ramah Mesra bersama Menteri Luar di Dewan Tuanku Abdul Rahman.

Zambry  berkata, perjanjian itu akan ditandatangani selepas semua parti terbabit berpeluang untuk meneliti kandungan dokumen itu.

Bagaimanapun, Zambry tidak mendedahkan kandungan perjanjian itu dan menjelaskan ia akan diberitahu kelak.

Kerajaan perpaduan dianggotai Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ia diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turut mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada MUDA, Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan dua Bebas.

Related posts

Leave a Comment