15 ditahan sindiket pakej melancong ke luar negara

KUALA LUMPUR 12 Julai – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menumpaskan sindiket penipuan pakej pelancongan serendah RM14,000 untuk 14 hari percutian, pakej RM25,000 untuk 40 hari dan pakej RM50,000 untuk 50 hari percutian.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket itu terbongkar selepas satu serbuan dilakukan pada 1 Julai lalu, yang berjaya menahan 15 individu terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita warga India.

Hasil siasatan mendapati, sindiket yang beroperasi sejak awal tahun ini menyasarkan warga asing sebagai mangsa penipuan pakej mereka.

Menurut Ramli, sindiket ini menggunakan nama sebuah syarikat yang mempromosikan pakej pelancongan melalui pengedaran risalah kepada warga asing di negara ini.

“Jika mangsa berminat, mereka perlu hadir ke pejabat syarikat terbabit di sini (Kuala Lumpur) untuk penerangan melalui tiga pakej istimewa ditawarkan. Pelanggan yang berminat dibenar membuat pilihan percutian ke mana-mana negara di seluruh dunia,” katanya pada sidang media JSJK, di sini, hari ini.

Ramli berkata, hasil semakan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendapati, syarikat terbabit tidak mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai syarikat pelancongan.

“Setakat ini dua laporan polis dibuat mangsa yang tertipu dengan syarikat ini membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM14,000,” katanya.

Semua 15 individu yang ditahan direman sehingga 20 Julai ini mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan.

Sementara itu, JSJK menahan empat lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 23 hingga 30 tahun yang terbabit dalam aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen ‘Ah Long’.

Semua mereka ditahan dalam serbuan pada 2 Julai lalu di sebuah kediaman di Cheras, di sini.

Ramli berkata, sindiket yang beroperasi sejak tiga bulan lalu menyasarkan peminjam dalam kalangan warga tempatan manakala iklan dibuat melalui aplikasi Facebook dan peminjam yang berminat akan dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Jumlah pinjaman yang ditawarkan antara RM500 hingga RM10,000 dengan faedah antara 10 hingga 15 peratus secara mingguan atau bulanan.

Polis turut merampas empat set komputer, dua komputer riba, satu modem, satu router, satu kad akses dan satu buku catatan.

Foto JSJK PDRM

Related posts

Leave a Comment