Menteri potong gaji 20 peratus sebulan

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri bersetuju memotong gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan, sehingga keadaan ekonomi negara pulih, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri , perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat khas Kabinet di sini hari ini.

“Jemaah menteri bersetuju atas keprihatian kepada rakyat untuk memotong gaji setiap bulan sebanyak 20 peratus. Pemotongan ini sehingga ekonomi negara pulih…kalau tiga tahun..tiga tahunlah, itu contoh,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra, hari ini, Anwar turut mengesahkan bahawa beliau tidak mengambil gaji sebagai Menteri Kewangan.

“Ada orang kata Anwar ambil gaji PM tapi ambil gaji Menteri Kewangan… itu tidak benar…gaji dia satu sahaja,” katanya.

Sementara itu beliau memberi jaminan dasar dirangka pentadbiran terdahulu serta Rang Undang-undang (RUU) yang masih di peringkat perbahasan ketika Parlimen dibubarkan, akan diteruskan jika ia baik dan tidak bermasalah.

Ini termasuk RUU berkaitan Dasar Generasi Penamat (GEG) yang dibawa Kementerian Kesihatan (KKM) dan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang sebelum ini dibentangkan Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin.

Beliau menjelaskan, ia berikutan kerajaan yang ada sekarang bukanlah kerajaan yang baru ditubuhkan, sebaliknya kerajaan bagi meneruskan sistem yang ada, namun akan lebih tegas dalam membuat perubahan.

“Yang baik, perjanjian baik, kontrak yang baik, tidak ada masalah, kita akan ikut. Jika jelas umpamanya tender tu berbilion (ringgit) tidak ikut perolehan atau projek yang diluluskan berbilion, ratus bilion tidak ikut tender, tidak ikut proses, tentu kita harus teliti semula.

“Ini bukan wang saya, ini wang rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment