Mangsa gempa bumi Indonesia meningkat

CIANJUR: Angka kematian akibat gempa bumi di pulau utama Jawa di Indonesia melonjak kepada 268 orang semalam berbanding sebelumnya , 162 orang.

Menurut Ketua Agensi Penyelamat Nasional Indonesia Basarnas, Henri Alfiandi, ramai daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak yang sedang belajar di sekolah ketika kejadian berlaku.

Sebahagian daripada mereka yang maut adalah pelajar di sekolah pondok, manakala yang lain terbunuh di rumah mereka apabila bumbung dan dinding runtuh.

Operasi mencari menjadi lebih mencabar kerana hubungan jalan raya dan bekalan elektrik terputus sementara di sebahagian besar kawasan pergunungan di luar bandar.

Gempa bumi cetek berukuran 5.6 magnitud berlaku kelmarin berhampiran bandar Cianjur di mana kebanyakan mangsa terkorban, ratusan cedera dan berpuluh-puluh dikhuatiri terperangkap apabila bangunan runtuh dan tanah runtuh tercetus.

Ketua agensi mitigasi bencana nasional Indonesia (BNPB), Suharyanto, berkata sekurang-kurangnya 151 orang masih hilang dan lebih 1,000 cedera.

Keutamaan masih diberikan kepada pencarian dan pemindahan mangsa.

“Apabila respons kecemasan tamat, harap semua orang sudah ditemui,” katanya.

Sementara itu, Presiden, Joko Widodo melawat khemah mangsa gempa bumi di Taman Prawatasari, Cianjur.

Beliau menawarkan pampasan untuk mangsa dan mengarahkan agensi bencana dan penyelamat untuk ‘menggerakkan kakitangan mereka’.

“Kerajaan akan membantu penduduk yang rumahnya rosak akibat gempa bumi, dengan kadar bantuan mengikut tahap kerosakan rumah,” katanya melalui Facebooknya.

Dalam perjalanan kembali ke Bogor, Jokowi turut meninjau penduduk di Taman Prawatasari, Cianjur, dan Kampung Warung Bawang, Kecamatan Cugenang.

Related posts

Leave a Comment