Tiga ADUN BN 7 PH barisi Exco Perak

KUALA KANGSAR 22 Nov. – Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, membabitkan tiga wakil Barisan Nasional (BN) dan tujuh mewakili Pakatan Harapan (PH), mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (Exco) di Balai Istiadat Kecil, Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Mereka melafazkan sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan menerima watikah pelantikan daripada baginda.

Tiga ADUN mewakili BN – UMNO yang mengangkat sumpah ialah ADUN Lintang,  Mohd Zolkafly Harun, Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja).

Tujuh ADUN daripada PH ialah ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin (Amanah); A Sivanesan (Sungkai – DAP); Loh Sze Yee (Jalong – DAP); Teh Kok Lim (Aulong – DAP); Sandrea Ng Shy Ching (Teja – PKR); Mohd Azlan Helmi Helmi (Tualang Sekah – PKR); dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar – DAP).

Secara keseluruhan,  komposisi parti diwakili Exco kerajaan campuran Perak yang baharu dibentuk bawah pentadbiran Menteri Besar daripada BN ialah DAP (empat), BN (tiga), PKR (dua) dan Amanah (satu).

Mohd Zolkafly dan Shahrul Zaman sebelum ini juga adalah Exco kerajaan negeri bawah pimpinan Menteri Besar,  Saarani Mohamad, yang mula memegang jawatan itu sejak Disember 2020 susulan peletakan jawatan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 5 Disember tahun sama selepas kehilangan majoriti sokongan ADUN.

Perak, sebelum pembubaran DUN pada 17 Oktober lalu, mempunyai 10 Exco bawah pimpinan Saarani yang komposisinya membabitkan lima ADUN daripada BN, Pas (dua) dan Bersatu(tiga).

Turut berangkat pada istiadat itu adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Related posts

Leave a Comment