Gerakan sekali lagi ‘berubah’

PUTRAJAYA 11 Feb. – Keluar BN masuk PN. Begitulah penghijrahan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang secara rasmi diterima menganggotai Perikatan Nasional (PN) selepas parti itu meninggalkan Barisan Nasional Jun 2018.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin telah menyerahkan surat kemasukan itu kepada Presiden Gerakan, Dr.Dominic Lau.

‘’Kemasukan Gerakan sebagai parti anggota PN telah diluluskan secara sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PN.

”Saya amat mengalu-alukan penyertaan Gerakan dalam PN. Saya percaya langkah ini akan memperkukuhkan PN sebagai gabungan parti politik yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dan wilayah di Malaysia,” kata Muhyiddin melalui Facebooknya.

Sementara itu, Dominic Lau semasa mengesahkan kepada Astro Awani berkata, sebagai sebuah parti yang bukan berasaskan perkauman, Gerakan akan terus konsisten dalam memainkan peranan memfokuskan prinsip demokrasi di negara ini.

“Parti Gerakan merupakan parti politik non-ethnic, ia ditubuhkan pada 1968 dengan prinsip demokrasi. Gerakan akan memainkan peranan dan memperjuangkan kesederhanaan, kami akan bersama-sama dengan parti komponen-komponen parti dalam PN memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan sosiekonomi akan diutamakan,” kata Lau.

Penyertaan Gerakan bukanlah satu kejutan kerana ia telah menyatakan hasrat menyertai PN pada tahun 2020.

Semasa mengumumkan keluar BN pada 2018, Gerakan dalam satu kenyataan mahu menjadi parti bebas yang konstruktif.

“Keputusan ini dibuat selepas perbincangan, penelitian dan pertimbangan yang menyeluruh dan serius terhadap perkembangan politik semasa negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Sentimen dan maklum balas daripada akar umbi juga diambil kira dalam keputusan ini, pemilihan parti di peringkat cawangan sedang berlangsung di seluruh negara. Ia selaras dengan matlamat kami untuk menyatukan parti dan ahli,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Gerakan wajar memulakan perjalanan politik baharu dengan kebebasan, pemerkasaan dan ketegasan untuk memperjuangkan kepercayaan terbaik demi negara dan rakyat.

Related posts

Leave a Comment