BN mahu kekal sebagai pembangkang

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini bersetuju untuk kekal sebagai pembangkang buat masa ini, kata Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Dewan Tertinggi BN memutuskan untuk tidak menyokong sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan.

“Alhamdulillah, Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

BN tidak menyokong PH mahupun PN. Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter, hari ini.

Berdasarkan keputusan BN hari ini, peluang Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 semakin tipis berikutan PH hanya memiliki 82 kerusi Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PH memerlukan sokongan 30 Ahli Parlimen BN untuk memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah 112.

Pada masa yang sama, PH boleh mencari sokongan parti lain termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mendapat 23 kerusi, Warisan (3), Bebas (2), Parti Bangsa Malaysia (PBM) 1 dan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) 1.

Bagaimanapun, GPS sebelum ini memutuskan untuk menyokong gabungan PN dan BN.

Peluang PH juga tipis selepas mengambil kira kenyataan Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainuddin, semalam yang memaklumkan gabungan itu sudah mengemukakan akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri yang baharu.

Hamzah juga hari ini memaklumkan PN turut menerima satu lagi SD daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Muhyiddin dan SD tambahan itu sudah diserahkan kepada Istana Negara pagi ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan yang ditemui selepas selesai mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn di sini, memaklumkan BN bersetuju secara ‘en bloc’ untuk kekal sebagai pembangkang.

“Semua setuju kita tak sokong sesiapa. Kita berdiri sebagai satu blok, dan kita sedia menjadi pembangkang.

“Kita tak pilih (PN atau PH), tak masuk mana-mana. Kita hormat pendirian rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin, ketika ditemui berkata 30 Ahli Parlimen BN yang hadir mesyuarat Dewan Tertinggi BN mengesahkan tidak menyokong nama mana-mana calon Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Nama (calon Perdana Menteri) tidak ada. Kita tidak mencadangkan. Tidak ada ‘side’ (sebelah mana-mana pihak. (Semua) 30 Ahli Parlimen BN bertenang. Sehingga masa yang sesuai,” katanya.

Beliau juga berkata, semua Ahli Parlimen BN sepakat bersedia untuk menjadi pembangkang.

“Dalam politik semua boleh berlaku. Kami mahu ‘en bloc’ Kami dalam satu pasukan. Kita sedia jadi pembangkang,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment