Persefahaman UMNO – PH pengkhianatan

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Naib-naib Ketua UMNO Bahagian menyifatkan sebarang usaha persefahaman UMNO dan Barisan Basional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai DAP sebagai satu pengkhianatan.

Pengerusi Naib Ketua UMNO Bahagian,  Muhammad Anuar Mohd Yunus, berkata, mereka yang bersekongkol dengan usaha ini tidak boleh dikompromi daripada ditolak parti.

Dalam satu kenyataan semalam, kumpulan naib ketua ini juga mendesak Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan, meletak jawatan selepas kekalahan teruk BN kelmarin.

Katanya, ketidakcekapan pimpinan UMNO mengurus perjuangan dan usaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti mengakibatkan BN tewas teruk

Justeru katanya, Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu meletak jawatan serta merta demi pertanggungjawaban terhadap kekalahan yang memalukan malah lebih teruk dari Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu.

“Kami mengucapkan terima kasih atas sumbang baktinya selama memimpin. Namun, penolakan jelas rakyat terhadap UMNO atas kebimbangan mereka parti ini dipimpin oleh beliau terpaksa diambil kira bagi meletakkan semula kepercayaan rakyat, seterusnya mengembalikan UMNO di hati mereka,” katanya

Begitu juga dengan Mohamad Hasan, wajar meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO, atas kekhilafan strategi hingga BN kalah teruk.

Katanya, kegagalan Mohamad mengotakan janjinya, termasuk mengekalkan penyandang Ahli Parlimen dan kriteria ‘Winnable Acceptable Likeable’, (WALI) mengakibatkan berlaku kehilangan kepercayaan penyokong secara keseluruhan.

Desakan meletak jawatan juga selari dengan kenyataan media Mohamad sebelum ini yang akan melepaskan jawatan jika BN tewas.

Beliau juga berharap semua pemimpin UMNO yang jelas dilihat dekat di hati rakyat, diberikan tempat dalam kepemimpinan Majlis Tertinggi UMNO.

“Mereka jelas menjadi perhatian rakyat melalui pertambahan majoriti kemenangan yang ketara. Mereka berjaya merampas kembali kawasan yang sebelum ini tewas, terutamanya kawasan bandar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment