Zahid, Azlan Man digesa undur

KANGAR 21 Nov. – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahya menggesa Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO.

Langkah itu sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan teruk BN di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelmarin.

Beliau juga mendesak perkara yang sama ke atas Pengerusi BN Perlis yang juga Pengerusi UMNO Perlis, Azlan Man.

Menurut Dr Fathul Bari, penolakan pengundi di seluruh negara menjelaskan sudah tiba masanya Ahmad Zahid dan Azlan berundur.

“Tidak pernah dalam sejarah PRU di Perlis, BN tewas di 15 kerusi DUN, yang mana 14 kerusi itu dirampas Perikatan Nasional (PN) dan satu kerusi oleh Pakatan Harapan (PH).

Diburukkan lagi dengan kegagalan di kerusi Parlimen (Padang Besar, Kangar dan Arau) yang merekodkan BN dengan majoriti yang teruk dan dahsyat, malah saya sendiri pun kalah.

“Apapun, dalam soal ini kita kena terima hakikat kekalahan itu dan saya tak nak menuding itu dan ini ini tetapi umum mengetahui bahawasanya kekalahan ini adalah dipengaruhi kempen dalam gerak kerja pembangkang pada waktu itu oleh PN dan PH iaitu satu undi kepada BN adalah satu undi kepada Ahmad Zahid Hamidi.

Jadi realitinya ini jelas dan kita bukan nak menghina atau menolak apa juga kebaikan kerana kita tahu presiden banyak berkorban dan berjiwa besar untuk parti, namun demi kelangsungan dan masa depan parti seperti presiden pernah maklumkan pada Datuk Seri Najib Razak supaya berundur selepas PRU14,” katanya. kepada pemberita pada sidang media di di sini, lewat malam tadi.

Beliau berkata di peringkat negeri,  Azlan Man perlu mengambil tanggungjawab yang sama bukan berdiam diri sahaja.

“Kita menghormati beliau sebagai Pengerusi BN negeri, Ketua UMNO Bahagian Kangar, bekas Menteri Besar yang banyak berjasa kepada parti dan negeri.

“Namun dalam soal ini, kelemahan dan kekalahan yang berlaku sungguh teruk sekali dan memang betul, ia adalah gelombang tetapi dalam masa yang sama perlu diingatkan juga sokongan dan dukungan yang diambil adalah punca dan akibat datangnya gelombang itu jadi kita juga minta supaya beliau bertanggungjawab atas hal itu,” katanya.

Mengulas desas-desus BN akan menyokong PH untuk membentuk kerajaan Persekutuan, Fathul Bari berpendapat BN perlu bersendirian untuk memperbaharui, muhasabah dengan apa yang berlaku.

(Foto hiasan dari FB Dr Fathul)

Related posts

Leave a Comment