Tiga veteran tewas, Dr M hilang deposit

PUTRAJAYA : Dr. Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Adnan Tengku Mansor adalah antara veteran politik yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila gagal mempertahankan kerusi masing-masing.

Lebih mengejutkan Dr Mahathir 96, hilang wang pertaruhan apabila bekas Perdana Menteri yang mewakili Pejuang itu hanya memperoleh 4,566 undi, di tempat keempat dalam persaingan lima penjuru.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Suhaimi Abdullah yang menang dengan majoriti  13,518 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) Armishah Siraj mendapat 11,945 undi.

Dr Mahathir calon tertua kali ini, bertanding pilihan raya sejak 1964 hingga 1999 dan  pernah kalah sekali pada 1969 di Kubang Pasu, ketika itu kepada Yusof Rawa, yang kemudian jadi presiden Pas.

Tengku Razaleigh pula yang cuba mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12, gagal apabila tewas mengejut kepada calon Pas-Bersatu  Mohd Azizi Abu Naim.

Mohd Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi apabila memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh yang mewakili BN, mendapat 21,663 undi.

Tengku Razaleigh, 85, yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, juga merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

Beliau bertanding di Parlimen Ulu Kelantan (kini dikenali sebagai Parlimen Gua Musang) pada 1974.

Seorang lagi, Tengku Adnan  atau Ku Nan, 72 yang sebelum ini yakin dapat menguasai undi anak muda di kerusi itu, tewas dalam persaingan enam penjuru.

Pencabarnya, bekas Menteri Pendidikan, Radzi Jidin daripada Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh 16,002 undi sekali gus memperolehi majoriti 2,310 undi mengalahkan Ku Nan yang mendapat 13,692 undi.

Selain Ku Nan, antara pesaing yang tidak berjaya menawan Putrajaya adalah Noraishah Mydin Abdul Aziz daripada Pakatan Harapan (PH), Mohd Rosli Ramli (Pejuang), Samsudin PKPKL (Bebas) dan Lim Fice Bee (Bebas).

Radzi pada PRU14 bertanding di kerusi Parlimen Ketereh tetapi kalah kepada Annuar Musa dan kemudiannya dilantik sebagai Senator pada 17 Julai 2018.

Ku Nan pula penyandang Parlimen Putrajaya selama empat penggal pada PRU lalu mengekalkan kerusi tersebut apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Samsu Adabi Mamat.

Related posts

Leave a Comment