Muhyiddin, Anwar dakwa boleh bentuk kerajaan

SHAH ALAM : Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu menang dan menyatakan keyakinannya untuk membentuk kerajaan.

Pada masa yang sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa PH akan membentuk kerajaan dengan melepasi angka majoriti mudah 112 dan akan menyediakan dokumen bagi menghadap Istana Negara.

Pada sidang media awal pagi Ahad, Muhyiddin berkata, gabungan PN memenangi 73 kerusi Parlimen dengan bergabung bersama parti-parti lain kecuali PH.

Jelas Muhyiddin, pihaknya akan berbincang bersama kepemimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat dan berharap agar ia dapat dimuktamadkan sebelum petang Ahad.

“Bagi tujuan pembentukan kerajaan, saya akan berbincang bersama kepimpinan parti di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

“Demi menjamin kestabilan, PN juga mengalukan penyertaan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerjaan yang prihatin, bersih dan stabil,” katanya.

Jelasnya, sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan bersama parti-parti lain yang sehaluan, tumpuan utamanya adalah untuk melaksanakan semua tawaran PN Best yang dikemukakan kepada rakyat semasa tempoh berkempen.

Beliau juga berharap dapat mewujudkan situasi politik yang stabil apabila kerajaan dibentuk kelak.

“Dengan PN mengetuai kerajaan, kita berharap dapat mewujudkan situasi politik yang paling stabil.

“Ini bermakna kita perlu ambil kira pihak-pihak tertentu dalam parti lain yang kalau mereka sehaluan dan bersedia untuk terima dasar-dasar yang akan diketuai PN, kita akan pertimbangkan dengan secara teliti,” jelasnya.

Ditanya pemberita sama ada PN akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin berkata: “Tidak, tidak bersama PH,”.

Turut hadir dalam sidang media berkenaa adalah Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta beberapa kepemimpinan tertinggi parti komponen Bersatu, Pas dan Gerakan.

Sementara itu di SUBANG, Anwar mendakwa PH mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Beliau bagaimanapun, tidak mendedahkan bilangan kerusi dimenangi PH ataupun parti yang menyokong PH untuk membentuk kerajaan.

“Kita menerima keputusan dan menghormati mandat rakyat dan seperti kita sedia maklum PH adalah gabungan besar yang memenangi PRU15.

“Tiada parti yang memperoleh majoriti dalam Parlimen dan ini memerlukan proses perbincangan. Saya ingin maklumkan kami (PH) mencapai persefahaman dan persetujuan untuk membentuk kerajaan apabila diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Inilah gabungan pertama daripada blok terbesar yang telah memperolehi jumlah mencukupi untuk bentuk kerajaan dengan suara majoriti,” katanya dalam sidang media, awal pagi Ahad.

Presiden PKR itu turut menafikan kenyataan Muhyiddin bahawa PN berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Itu tidak terjadi, ia adalah mustahil kerana kami mempunyai angka dan akan memaklumkan kepada Istana Negara,” ujar Anwar lagi.

Menurut Anwar, dokumen pembentukan kerajaan PH akan dihantar ke Istana Negara sebaik sahaja dilengkapkan.

Related posts

Leave a Comment