Isham Jalil ganti Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan berkata, pelantikan itu susulan peletakan jawatan itu oleh Shahril Sufian Hamdan pagi tadi.

“Saya ingin sahkan bahawa menurut Fasal 9.6 Perlembagaan UMNO, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melantik Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan UMNO berkuat kuasa 20 November 2022.

“Ia berikutan peletakan jawatan Shahril Hamdan pada hari ini. Terima kasih atas khidmat yang diberikan saudara Shahril,” kata beliau melalui Twitter.

Shahril pagi tadi mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO dan mendesak Ahmad Zahid berundur secara terhormat susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon BN itu yang tewas kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari di Parlimen Alor Gajah dalam persaingan empat penjuru, berkata beliau sependapat dengan pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghani berkaitan kedudukan Ahmad Zahid.

Terdahulu, Isham dilaporkan berkata, beliau dihubungi Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan dan Ahmad yang memaklumkan mengenai pelantikannya ke jawatan itu.

“Surat rasmi sudah ditandatangani kepimpinan parti. Saya ucapkan terima kasih atas pelantikan ini dan kepercayaan parti terhadap saya.

“Saya akan memegang amanah ini dengan sebaiknya,” katanya.

Isham semalam tewas di Parlimen Shah Alam kepada calon PH, Azli Yusof yang memperoleh majoriti 18,095 undi.

Related posts

Leave a Comment