Jaga diri semua – Musa Aman

BEKAS Ketua Menteri Sabah, Musa Aman yang ‘gagal menghalang’ Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mengemukakan sebarang borang pencalonan di Dewan Serbaguna Libaran seperti dijangka sebelum ini.

Bagaimanapun, tengah hari ini, 12 September, Musa menitipkan nasihat kepada semua rakyat Sabah melalui satu ciapan di akaun Twitternya.

Musa mengucapkan selamat maju jaya kepada Sabah dan mendoakan semuanya kekal selamat.

“Jaga diri semua, semoga sentiasa dalam keadaan selamat,” tulisnya ringkas.

Musa yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga sebelum ini pernah memuat naik dalam akaun Facebooknya seolah-olah memberi bayangan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila.

Bagaimanapun sehingga Pegawai Pilihan Raya Irman Tajuddin Edy mengumumkan bahawa tempoh penamaan calon berakhir pada pukul 10 pagi, kelibat Musa tidak kelihatan.

Panggilan telefon serta mesej oleh pihak yang rapat dengannya tidak dijawab manakala tinjauan Bernama ke kediaman beliau yang terletak bersebelahan Dewan Serbaguna Libaran, kelihatan kosong dari luar pagar dan pintu depan berkunci.

Pada 9 September lalu, Musa membuat hantaran di akaun Twitter beliau berbunyi: “Saya akan kembali ke Sungai Manila” yang merupakan kerusi baharu dalam Parlimen Libaran.

Hari ini, 12 September, Musa memuat naik satu artikel di Instagramnya yang menyebut bahawa pemimpin UMNO Sungai Manila mahu beliau menjadi calon bagi kawasan itu.

Pilihan Raya Negeri itu diadakan selepas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN Sabah atas permintaan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai.

Ini berlaku sehari selepas Musa mendakwa beliau memiliki sokongan 33 Ahli DUN untuk menyingkirkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah dan membentuk kerajaan baharu.

Related posts

Leave a Comment