Pengundian di P017 Padang Serai 7 Dis.

PUTRAJAYA 18 Nov. –  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai, adakah pada  7 Disember depan, kata Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata, tarikh penamaan calon bagi PRU kerusi terbabit ditetapkan pada 24 November ini, sementara pengundian awal pada 3 Disember.

Tempoh berkempen pula selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November 2022 (Khamis) sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember 2022.

“Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian dibuka daripada 18 November 2022 (Jumaat) dan ditutup pada 22 November 2022 (Selasa),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, calon-calon PRU15 layak yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon pada 24 November ini, bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan semula giliran pada kertas undi.

“Sementara, bakal-bakal calon baharu yang ingin bertanding dalam PRU15 Parlimen P017 Padang Serai, hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon yang ditetapkan SPR,” katanya.

Kos menjalankan urusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ini dianggarkan sebanyak RM1.6 juta.

Katanya, daftar pemilih bagi PRU15 Parlimen P017 Padang Serai ini mengandungi seramai 133,867 orang pemilih, terdiri 133,776 orang pengundi biasa, 76 orang polis dan 15 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

“Daftar bagi PRU15 Parlimen P017 Padang Serai dijadualkan akan mula dijual pada 23 November 2022,” katanya.

Urusan PRU bagi kerusi itu ditunda berikutan kematian seorang calonnya iaitu dari Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya, yang juga penyandang kerusi Parlimen berkenaan.

Pada hari penamaan calon sebelum ini, Karupaiya, ditentang Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (BN), Azman Nasrudin (PN), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan calon bebas, Ananda AK.

Karupaiya, 69, meninggal dunia di Hospital Kulim Rabu lalu, dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Related posts

Leave a Comment